Liverpool: Pengendali Liverpool, Brendan Rodgers yakin Luis Suarez dan Daniel Sturridge mampu menjadi lebih baik selepas kedua-dua penyerangnya itu mencetus kemenangan 3-1 Reds ke atas Crystal Palace.

Penyerang kembar itu masing-masing meledak gol dalam tempoh 17 minit pertama sebelum Steven Gerrard menjaringkan gol Liga Perdana ke-99 dirinya menerusi sepakan penalti sebelum rehat di Anfield, kelmarin.
Pemain gantian Palace, Dwight Gayle merapatkan jurang pada lewat permainan, tetapi Liverpool mudah mengekalkan kelebihan untuk kemenangan yang meletakkan mereka satu mata di depan penghuni tangga kedua, Arsenal selepas saingan kelmarin.


Ledak 38 gol

Penyerang Uruguay, Suarez kini mengumpul 19 gol daripada 22 perlawanan, manakala penyerang England, Sturridge meledak 19 gol dalam 24 perlawanan sejak menyertai kelab pada Januari, termasuk lapan daripada sembilan perlawanan musim ini.

“Gandingan dua pemain itu di depan sebaik mana-mana gandingan dalam liga, jadi harapan cukup cerah dengan kehadiran mereka,” kata Rodgers. “Tidak banyak gandingan lebih baik seperti yang mereka pamerkan. Persembahan mereka cukup baik.

“Ketajaman mereka cukup meyakinkan. Jika bermain di tempat lawan dan pasukan berada dalam tekanan, kami mampu menyerang balas kerana kami mempunyai kelajuan dan sokongan dari bahagian lain. Ia mampu menghadirkan ancaman,” kata Rodgers.
Bijak cari ruang

“Jika lawan berkampung di kawasan mereka, kedua-dua pemain ini cukup bijak untuk mencari ruang menembusi kotak penalti dan mendapatkan gol. Mereka cukup cemerlang dan mempunyai keserasian antara satu sama lain,”.

Dia yakin Suarez dan Sturrudge mampu menampilkan persembahan lebih berbisa jika barisan tengah Liverpool menjelmakan peluang berterusan kepada mereka. “Saya bukan jurulatih yang hanya mahukan kemenangan,” kata Rodgers.

“Saya lebih risaukan bagaimana cara pasukan bermain dan mengawal permainan. Di bahagian depan tidak dinafikan kami cukup menonjol tetapi masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki.” - AFP