PENYERANG veteran, Mohd. Amri Yahyah mengakui kehilangan dua tonggak
muda - Wan Zack Haikal Wan Nor dan Mohd. Fadhli Shas - memberikan impak
kepada Harimau Malaya menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2015 di
Stadium Shah Alam, 15 Oktober ini.
Begitupun, Amri berharap masalah itu tidak akan mengganggu persiapan
Harimau Malaya yang kini mempunyai tugas penting bagi memburu slot
automatik pada pusingan akhir Piala Asia 2015.
"Memang terasa kekurangan (ketiadaan Wan Zack dan Fadhli) dalam pasukan," jelas Amri ketika dihubungi Kosmo! semalam.
"Agak sedikit kelam-kabut apabila hanya 11 pemain yang menjalani sesi
latihan ketika ini selepas 17 lagi pemain masih terlibat dengan tugasan
bersama pasukan masing- masing dalam saingan Piala Malaysia."
Amri berkata, buat masa ini, dia dan 10 lagi pemain menjalani latihan
seperti biasa di bawah pengawasan pengendali, Datuk K. Rajagobal.
Menurutnya, kehadiran 17 lagi pemain selepas tamat aksi suku akhir
kedua Piala Malaysia, Ahad nanti mampu memberikan lebih banyak pilihan
kepada Rajagobal bagi mengatur strategi.
Sebelum aksi menentang Bahrain, Harimau Malaya dijadual bertemu
Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan persahabatan di Shenzhen,
China, Rabu depan.
"Paling penting, jurulatih (Rajagobal) dapat mengumpul semua pemain ketika aksi menentang UAE nanti.
"Pertemuan menentang UAE sangat penting kerana ia adalah ujian
terakhir kami untuk menguji kekuatan pasukan sebelum bertemu Bahrain,"
katanya.
Mengulas aksi menentang Bahrain, Amri yakin Harimau Malaya memiliki kelebihan bagi meraih tiga mata berharga.
"Sebenarnya kami memiliki kelebihan kerana akan beraksi di tempat sendiri.
"Sudah tentu kali ini kami tidak boleh mengulangi lagi kesilapan lalu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan