GLASGOW - Pemain tengah, Cesc Fabre- gas menanduk masuk gol
kemenangan 1-0 Barcelona ke atas Celtic yang beraksi dengan 10 pemain
pada aksi Kumpulan H kempen Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Aksi di Celtic Park itu menyaksikan juara Liga Sepanyol tersebut
mendominasi sebahagian besar permainan tetapi gagal untuk menewaskan
penjaga gol Celtic, Fraser Forster pada babak pertama.
Pasukan tuan rumah turut memperoleh peluang terbaik menerusi Georfios
Samaras, namun penyerang Greece itu gagal melakukan percubaan yang
tepat ke gawang Barcelona.
Celtic menerima tamparan apabila kapten, Scott Brown diarah keluar
padang selepas dilayangkan kad merah pada minit ke-59 gara-gara
menendang penyerang skuad The Catalan, Neymar.
Detik kemenangan Barcelona diperoleh apabila pemain gantian, Alexis
Sanchez yang baru beraksi selama dua minit bijak melakukan hantaran
kepada Fabregas yang menanduk masuk bola untuk menewaskan Forster.
Jurulatih Barcelona, Gerardo Martino mengakui Celtic antara pasukan
yang paling sukar ditentang biarpun skuad kendaliannya memulakan kempen
musim ini dengan rekod cemerlang.
"Perlawanan ini sangat mencabar sepanjang musim ini. Bukan sahaja
mendapat tentangan sengit (Celtic) tetapi penjaga gol, Victor Valdes
juga berjaya menyelamatkan beberapa percubaan tepat yang dilancarkan
mereka.
"Kami berjaya menggabungkan hantaran bola jarak jauh dan dekat. Corak
permainan kami nampak lebih dinamik serta sukar untuk diduga," kata
Martino.
Sementara itu, jurulatih Celtic, Neil Lennon berkata, keputusan
pengadil melayangkan kad merah kepada Brown dibuat tanpa berfikir
panjang.
"Kalau ada sebarang sentuhan, perbuatan itu sangat kecil. Pada saya,
banyak lagi insiden yang sepatutnya menerima hukuman yang lebih berat
dalam permainan itu.
"Keputusan itu telah mengubah rentak permainan kami. Menentang
Barcelona dengan 11 pemain sangat sukar, apatah lagi dengan 10 pemain
tetapi kami berjaya beraksi dengan baik," katanya.
Ketika ini, Barcelona menerajui kedudukan teratas selepas mengumpul
enam mata, dua mata di depan AC Milan yang seri 1-1 dengan Ajax
Amsterdam dalam satu lagi aksi Kumpulan H. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan