Ahad, 27 Oktober 2013

Irfan, Fadhli janji yang terbaik untuk Johor DT

Oleh NURUL HUDA HASSAN

Tunku Ismail (tengah) bersama Muhd. Fadhli (kiri) dan Mohd. Irfan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru, semalam. 
 
JOHOR BAHRU - Dua pemain baharu Johor Darul Takzim musim depan, Mohd. Irfan Fazail dan Muhd. Fadhli Shas berjanji memberikan terbaik dalam usaha memastikan kemenangan untuk pasukan.

Mohd Irfan yang merupakan pemain tengah nyata teruja untuk menyertai Johor Darul Takzim, malah tidak sabar untuk menimba pengalaman dan bermain dengan pemain berpengalaman dan dikenali di peringkat antarabangsa, Pablo Aimar.

"Ia merupakan satu cabaran untuk menguji dan menaikkan prestasi untuk diri sendiri," katanya.
Bagi pemain pertahanan, Muhd. Fadhli Shas pula, dia percaya sudah tiba masa untuk dirinya yang sebelum ini anggota skuad bawah Bawah 23 tahun negara pulang menabur bakti kepada negeri sendiri.

"Saya percaya Johor Darul Takzim pasukan yang perlu diberi perhatian dan saya bangga menjadi sebahagian daripadanya," ujarnya. 

Kedua-dua mereka masing-masing berusia 22 tahun mengikat kontrak selama dua tahun bersama Johor Darul Takzim dengan tawaran tambahan dua tahun lagi sekiranya mereka mahu terus memberikan perkhidmatan, namun jumlah bayaran diterima tidak didedahkan.

Mereka diperkenalkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam.

Tunku Mahkota Johor berkata, beliau gembira dan berbangga kerana kedua-dua pemain itu kembali menabur bakti kepada negeri ini sekali gus berharap mereka dapat menggunakan segala pengalaman untuk memantapkan lagi pasukan.

Tunku Ismail turut mengesahkan hanya sembilan pemain Johor DT yang beraksi pada musim ini dikekalkan untuk musim depan selain turut mengesahkan penyertaan tonggak Lions XII, Hariss Harun.

Tambahnya, PBNJ masih menjalankan perbincangan dengan beberapa pemain termasuk Safee Sali dan Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak untuk menentukan hala tuju mereka musim depan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan