Rabu, 30 Oktober 2013

Barcelona kukuh kedudukan



FABREGAS (tengah) menjaringkan gol ketiga Barcelona ketika menewaskan Celta Vigo 3-0 awal pagi semalam.


MADRDI - Barcelona memiliki kelebihan empat mata di hadapan Atletico Madrid selepas menewaskan Celta Vigo 3-0 pada aksi Liga Sepanyol awal pagi semalam.

Selepas mengharungi sebelas perlawanan, Barcelona unggul di persada dengan mengumpul 31 mata untuk mengatasi Atletico di tangga kedua (27 mata) dan Real Madrid (22 mata).

Bagaimanapun, Atletico dan Real bermain kurang satu perlawanan berbanding skuad The Catalan.
Pada aksi di Stadium Balaidos itu, Alexis Sanchez yang menjaringkan gol kemenangan 2-1 Barcelona ke atas Real Madrid, Sabtu lalu meletakkan skuad The Catalan di depan pada minit kesembilan.

Celta ketinggalan dua gol pada awal babak kedua hasil jaringan sendiri penjaga gol, Yoel Rodriguez pada minit ke-48 sebelum Cesc Fabregas menambah gol ketiga pada minit ke-54.

"Dalam beberapa perlawanan, jentera serangan kami kurang berkesan seperti ketika menentang Osasuna.

"Pada aksi itu, kami gagal menggunakan sepenuhnya peluang yang diperoleh.
"Namun, kali ini kesemua peluang itu berjaya disempurnakan. Apa yang penting, kami perlu mencipta peluang secara berterusan dan beraksi dengan baik. Sudah pasti gol yang dicari akan tiba," kata Fabregas.

Selepas mengharungi tujuh perlawanan dalam tempoh 22 hari, jurulatih Barcelona, Gerardo Martino membuat lima rombakan dalam pasukan yang menewaskan Real, Sabtu lepas.

Javier Mascherano, Xavi, Andres Iniesta dan Neymar diletakkan di bangku simpanan, manakala Gerard Pique direhatkan kerana mengalami kecederaan hamstring.

"Saya rasa, kami menang dengan selesa, hanya sekali Celta berjaya menembusi benteng pertahanan kami.

"Pada babak kedua, kami mudah mengawal permainan kerana Fabregas berjaya melebarkan kedudukan apabila menjaringkan gol ketiga," kata Martino. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan