PENYERANG 'besi' Kelantan, Dickson Nwakaemi memberi amaran kepada
benteng Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar lebih berwaspada pada aksi
separuh akhir kedua Piala Malaysia, Jumaat ini.
Menurut Nwakaemi, dia makin bersemangat membawa Kelantan beraksi di pentas final selepas kejayaan The Red Warriors menumbangkan ATM 2-1 pada aksi pertama di Selayang, Jumaat lalu.
Bagaimanapun, Nwakaemi berkata, dia dan rakan-rakan sepasukannya
harus menampilkan disiplin yang tinggi pada pertembungan di Kota Bharu
nanti bagi merealisasikan hajat tersebut.
"ATM sebuah pasukan yang bagus, mereka memiliki pemain hebat seperti
Marlon Alex James dan Hairuddin Omar serta seorang penjaga gol yang
bagus (Farizal Harun).
"Kami dan mereka (ATM) adalah sebuah pasukan yang hebat di negara ini, sudah pasti ia menjanjikan satu perlawanan yang hebat.
"Saya tidak ambil mudah pertemuan ini, para pemain perlu fikir ia adalah perlawanan pertama dengan keputusan masih 0-0.
"Kami akan bermain seperti perlawanan akhir dan saya harap kami akan menang," katanya semalam.
Nwakaemi menambah, semangatnya juga berkobar-kobar kerana ini
merupakan aksi terakhir Kelantan di Kota Bharu dan sudah tentu dia mahu
mengambil kesempatan untuk menghadiahkan sesuatu kepada ribuan penyokong
setia Kelantan.
"Antara faktor kekuatan Kelantan adalah kerana mendapat sokongan padu
daripada penyokong sendiri sejak beberapa tahun lalu," jelasnya.
Mengulas kenyataan berseloroh jurulatih ATM, B. Sathianathan yang
menganggap dia 'makan besi' sejurus tamat aksi di Selayang tempoh hari,
Nwakaeme menjawab: Itu pendapat beliau (Sathianathan), semua orang boleh
mengeluarkan pendapat masing-masing.
"Mungkin saya kuat sebab saya berlatih bersungguh-sungguh. Sebelum
ini saya tidak begitu cergas, sering cedera tetapi sekarang saya sudah
pulih sepenuhnya dan mampu bermain pada tahap terbaik.
"ATM juga tidak mempunyai pertahanan import, mungkin itu juga
menjadikan saya lebih selesa ketika berada di kawasan gawang mereka.
"Saya tidak peduli siapa yang akan ditugaskan untuk mengawal saya
nanti, apa yang pasti mereka akan menghadapi tekanan hebat kerana saya
mahu menjaringkan gol," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan