|
LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menegaskan bahawa tiada
sebab berasa panik selepas kekalahan 0-2 kepada Chelsea pada pusingan
keempat Piala Liga awal pagi semalam.
Ekoran kekalahan kedua berturut-turut di Stadium Emirates itu,
Arsenal gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir yang menjadi milik
Chelsea hasil jaringan Cesar Azpilicueta dan Juan Mata.
Kekalahan itu pastinya sukar ditelan oleh Wenger yang sebelum ini
menyaksikan anak-anak buahnya tunduk kepada Borussia Dortmund dalam
kempen Liga Juara-Juara di gelanggang sendiri.
Begitupun, jika dilihat kepada rombakan besar-besaran pemain dalam
skuad Arsenal dan Chelsea semalam, Wenger enggan menyalahkan barisan
pemainnya atas kekalahan tersebut.
"Jangan terlalu cepat membuat kesimpulan. Kalau kamu ambil kira mata
yang kami raih sejak Januari lalu, kami menang lebih banyak berbanding
pasukan lain," kata Wenger.
"Selepas kalah perlawanan pertama dengan Aston Villa, orang mula
meragui keupayaan kami, namun kini kami berada di kedudukan yang kukuh
dalam saingan Liga Perdana England.
"Memang benar kekalahan ini sukar sekali diterima, terutama sekali dengan apa yang terjadi sejak dua minggu terakhir.
"Namun, setiap kesilapan yang berlaku boleh diperbetulkan dan itulah apa yang akan kami lakukan," ujarnya.
Sebelum Mesut Ozil dan Olivier Giroud dimasukkan pada babak kedua,
Arsenal dilihat hilang ketajaman penyudah apabila penyerang Denmark,
Nicklas Bendtner gagal melaksanakan tugasnya dengan baik.
Begitupun, Wenger mempertahankan keputusannya melakukan penggiliran
pemain bagi merehatkan tonggak utama menjelang pertemuan dengan
Liverpool minggu ini.
"Ia satu perlawanan yang sengit dan ditentukan hasil daripada satu atau dua kesilapan.
"Kamu tidak boleh beraksi dengan pemain yang sama dalam kesemua
perlawanan, kamu perlu juga melakukan penggiliran pada satu masa,"
katanya. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan