Rabu, 30 Oktober 2013

Juventus tekad bangkit

Berita Harian
Juventus  tekad bangkit 
 Penjaga gol Real Madrid, Iker Casillas (kanan) menghalang cubaan penyerang Juventus, Paul Pogba dalam saingan Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu, minggu lalu.
 
Milan: Juara bertahan, Juventus tampil dengan misi tersendiri apabila berdepan Catania dalam saingan Serie A, awal pagi esok - mengutip tiga mata penuh bagi merapatkan jurang dengan pendahulu carta liga, AS Roma.

Skuad kendalian Antonio Conte itu mengharungi dua minggu yang sukar selepas peluang untuk mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara tampak tipis apabila tewas kepada Real Madrid - empat hari selepas dikejutkan dengan kekalahan 2-4 kepada Fioretina.
Rekod baru


Walaupun berjaya melakar kemenangan 2-0 ke atas Genoa dalam saingan liga, Ahad lalu, tumpuan bagaimanapun sudah tidak terarah kepada gergasi Turin itu lagi sebaliknya semua terarah kepada Roma.

Roma yang dibimbing jurulatih kelahiran Perancis, Rudi Garcia bermula dengan cemerlang musim ini dan rentak itu diteruskan dengan kemenangan 1-0 ke atas Udinese, sekali gus mencatat rekod baru Serie A dengan sembilan kemenangan berturut-turut.

Penyerang Juventus, Carlos Tevez yang enggan memperkecilkan kemampuan Roma bagaimanapun berkata perebutan bagi merangkul trofi scudetto sebenarnya baru bermula.

Totti cedera
Sementara itu, Garcia memberi amaran kepada barisan pemainnya agar tidak memandang rendah kemampuan Chievo Verona - lawan mereka untuk aksi liga seterusnya awal pagi Jumaat ini biarpun pasukan itu menghuni tangga tercorot liga ketika ini.

“Walaupun kami berjaya memenangi perlawanan paling sukar musim ini (menentang Napoli), semua fikir kami sudah memenangi perlawanan dengan Chievo. Semua perlawanan di Itali adalah sukar dan menentang Chievo akan menjadi lebih sukar,” katanya.
AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan