Kuala Lumpur: Liga Malaysia (Liga M) tidak kompetitif, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau menganggap pemain muda negara yang ingin mengembangkan bakat mereka hanya boleh berbuat demikian jika beraksi dalam saingan liga di luar negara.
Terdahulu, beliau mengulas mengenai laporan mengenai hasrat kelab Divisyen Tiga Jepun, FC Ryukyu yang dikatakan sedang mengintai kelibat dua pemain Harimau Muda A dan B untuk menyarung jersi pasukan berkenaan.


“Kalau ada pemain mahu mengembangkan bakat mereka, lebih baik mereka beraksi dalam liga yang lebih kompetitif berbanding Liga-M.

“Ia pendedahan yang terbaik untuk mereka. Saya memang amat menggalakkan agar pemain kita dapat menimba pengalaman di luar negara dan ini adalah satu perkembangan yang sihat,” kata Khairy ketika ditemui di majlis ibadah korban sempena Aidiladha di Vista Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, semalam.

BH Sukan semalam melaporkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan FC Ryukyu sedang memantau perkembangan dua pemain Harimau Muda A dan B untuk dibawa masuk ke kelab itu.

FC Ryukyu pantau 2 pemain
Sebelum ini, dua pemain Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Nazirul Naim Che Hashim berjaya memikat hati pengurusan FC Ryukyu apabila masing-masing ditawarkan kontrak selama dua tahun dan setahun untuk beraksi bersama kelab berkenaan

Mengulas mengenai keputusan seri 1-1 Harimau Malaya dengan Bahrain dalam aksi kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, Selasa lalu, Khairy berkata: “Saya tidak menyaksikan perlawanan berkenaan, jadi saya tidak boleh beri komen secara menyeluruh.

“Namun, apa yang saya difahamkan, kita sepatutnya menang perlawanan itu cuma kita gagal memanfaatkan banyak peluang yang terhidang. Apa pun, kita masih ada peluang untuk layak ke Piala Asia dan saya harap skuad negara buat yang terbaik,” katanya.