Khamis, 17 Oktober 2013

Shukor idam final kelapan

Shukor Adan
 
KUALA LUMPUR - Jika ditanya siapakah pemain era ini yang paling banyak beraksi di pentas akhir Piala Malaysia, mungkin ramai yang tidak sedar bahawa ia menjadi milik pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Shukor Adan yang telah bermain sebanyak tujuh kali sejak tahun 2000.

Empat kali bersama Negeri Sembilan dan tiga bersama Selangor, tahun ini pasti menjadi satu pentas berbeza buat anak jati Melaka ini seandainya dia mampu membawa ATM mara ke perlawanan akhir kerana akan menjadi pasukan ketiga diwakilinya dalam lapan pentas tertinggi Piala Malaysia.

Impian itu tidak mampu diselindungkan lagi oleh pemain yang seangkatan dengan Hairuddin Omar ini, sambil berazam akan mencurahkan segala pengalaman yang ada bagi membantu ATM menjinakkan juara bertahan, Kelantan pada saingan separuh akhir kali ini.

Ditambah usia semakin menghampiri pertengahan 30-an, Shukor tidak rela melepaskan peluang yang sudah terhidang di depan mata bagi menambahkan lagi koleksi kejuaraan Piala Malaysia buat kali kelima dalam kariernya.

''Setakat ini saya telah beraksi tujuh kali pada perlawanan akhir Piala Malaysia dan menang empat daripadanya, jadi sudah tentu saya mahu mencipta rekod tersendiri dalam kalangan pemain tempatan di abad ini dengan melakukan penampilan kali kelapan.

''Ini adalah satu peluang keemasan untuk menambah koleksi kejuaraan dan paling penting menjadi trofi pertama saya bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang saya baru wakili tahun ini.

''Jika saya mampu membawa pulang Piala Malaysia bersama ATM, ini akan menjadi detik penuh bermakna kerana akan menjadi kemenangan kali pertama buat pasukan dan saya tidak mahu ketinggalan untuk berada daripada sebahagian lipatan sejarah, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Walaupun begitu, tugas berat perlu dipikul oleh Shukor dalam dua perlawanan timbal balik separuh akhir kerana kehilangan rakan baiknya di bahagian pertahanan, Amirizdwan Taj Tajudin yang digantung selepas mendapat kad merah pada perlawanan terakhir ketika menentang LionsXII.

Norfazly Alias bakal menjadi pengganti kepada Amirizdwan di bahagian pertahanan tengah, namun Shukor yakin dengan kemampuan yang ada pada bekas pemain T-Team itu untuk mengekang asakan 'menggila' Kelantan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

''Kalau kita lihat Amirizdwan baru-baru ini ketika menentang Bahrain, dia memang seorang pemain pertahanan yang berkualiti dan ketiadaannya pasti dirasai, tetapi Norfazly yang akan beraksi nanti mampu memikul tanggungjawab dengan baik.

''Tidak dinafikan ramai akan berikan tumpuan kepada Dickson (Nwakaeme) yang saya anggap buat masa ini antara pemain import terbaik yang ada dalam saingan Liga Malaysia, " katanya

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan