Moldova: Kelab Inggeris, Tottenham Hotspurs menewaskan kelab Moldova, FC Sheriff 2-0 untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kempen Liga Europa untuk bergelar calon terbaik melangkah ke peringkat kalah mati, awal pagi semalam.

Pertahanan Belgium, Jan Vertonghen menanduk masuk sepakan percuma Christian Eriksen pada minit ke-12 sebelum Jermain Defoe mengesahkan gol kemenangan 15 minit sebelum perlawanan berakhir untuk menyamai rekod jaringan Martin Chivers di kelab itu dalam kempen Eropah kepada 22 gol.
“Mereka mempunyai beberapa peluang menerusi serangan balas,” kata jurulatih Tottenham, Andre Villas-Boas yang menyaksikan gawangnya turut dibolosi namun dibatalkan akibat ofsaid.


Kelebihan 5 mata

“Mereka nampak baik ketika serangan balas, mencipta beberapa peluang terbaik dan kami perlu memujinya. Seri adalah keputusan yang adil namun gol kedua sentiasa penting untuk perlawanan seperti ini.

“Kami bernasib baik untuk meraih gol kedua untuk menamatkan perlawanan namun ia mungkin boleh berakhir sebaliknya.”

Tottenham masih belum melepaskan sebarang jaringan dalam tiga perlawanan setakat ini dan mempunyai kelebihan lima mata di atas kelab Russia, Anji Makhachkala yang mencatat kemenangan 1-0 ke atas Tromso. - AP