Selasa, 22 Oktober 2013

Pelligrini tuntut City ambil kesempatan benam CSKA

 
Berita Harian
 
Moscow: Gergasi Inggeris, Manchester City bersedia untuk mengukuhkan cengkaman di kedudukan kedua Kumpulan D Liga Juara-Juara Eropah dengan kemenangan kedua berturut-turut di laman lawan ketika bertemu jaguh Russia, CSKA Moscow awal pagi ini.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) 2012 dan naib juara tahun lalu City hanya mencatat satu kemenangan dalam enam perlawanan di laman lawan pada dua kempen Liga Juara-Juara sebelum ini namun memulakan saingan musim ini dengan kemenangan 3-0 ke atas wakil Republik Czech, Viktoria Pilsen.

Begitupun, kekalahan kepada pendahulu kumpulan yang juga penyandang juara Liga Juara-Juara, Bayern Munich mencerminkan sejauh mana kemampuan skuad bimbingan Manuel Pelligrini ini untuk bergelar pencabar utama namun melangkah ke pusingan kalah mati turut menandakan kebangkitan City yang sebelum ini gagal mara ke pusingan kedua dua kali berturut-turut di bawah bimbingan Roberto Mancini.


Gagal cipta kemenangan

“Kini kami bermain empat perlawanan berturut-turut di laman lawan jadi ia masa terbaik, pertama menang di laman lawan menentang West Ham dan kemudian mengulangi kejayaan itu ketika menentang Pilsen dalam Liga Juara-Juara,” kata Pellegrini.

City bakal menentang CSKA yang gagal mencatat sebarang kemenangan mahupun gol dalam lima perlawanan liga setakat ini dengan penyerang Argentina, Sergio Aguero membuktikan ketajamannya ketika meledak dua kali ketika menewaskan West Ham 3-1, minggu lalu.

Pelligrini dalam pada itu masih berharap pertahanan Belgium, Vincent Kompany akan cergas untuk beraksi namun lebih bimbang dengan keadaan padang di Moscow yang sebelum ini tidak mendapat kelulusan untuk menganjurkan perlawanan.
“Kami tidak tahu bagaimana keadaan padang (Khimki arena),” Pellegrini. “Kami berharap UEFA membenarkan mereka bermain di sana kerana ia padang yang baik.”

Begitupun, sebelum ini laporan daripada delegasi UEFA yang mengadakan ujian terhadap keadaan padang berkata ia cukup baik untuk digunakan. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan