Pening lagi!
Rajagobal gelisah kecederaan tonggak Harimau sebelum temu Bahrain

Kuala Lumpur: Berbaki dua hari sebelum perlawanan penting Kelayakan Piala Asia 2015 menentang Bahrain di Stadium Shah Alam, Selasa ini jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal terus dihantui dengan masalah kecederaan pemain.

Selepas kehilangan khidmat Nik Shahrul Azim Ab Halim di posisi pertahanan, Rajagobal sekali lagi pening kepala apabila seorang lagi tonggak benteng Mahalli Jasuli disahkan cedera pangkal paha ketika latihan petang kelmarin.
“Norshahrul Idlan Talaha dan Aidil Zafuan Abd Razak sudah kembali menjalani latihan dan mereka tidak menunjukkan kecederaan yang serius. Tetapi saya perlu lihat perkembangan mereka pada sesi latihan hari ini (semalam).



Mahalli pasrah


“Ini berita baik buat pasukan tetapi tadi saya dimaklumkan Mahalli pula cedera dan doktor menasihatkan supaya dia berehat. Tetapi saya yakin Mahalli akan dapat kembali menyertai pasukan dan diturunkan pada perlawanan menentang Bahrain,” katanya pada sesi latihan semalam.

Sementara itu, Mahalli yang ditemui jelas pasrah dengan kecederaan yang melanda dirinya, tetapi menaruh harapan untuk kembali menyertai pasukan.
“Kecederaan ini tidak membolehkan saya menyertai latihan. Saya tidak pasti tahap kecederaan ini, tetapi doktor suruh saya berehat untuk latihan hari ini (semalam) dan esok (hari ini).

“Kalau lepas itu masih ada rasa sakit, saya terpaksa lupakan hasrat untuk beraksi pada perlawanan menentang Bahrain. Namun, saya berdoa dan berharap dapat pulih segera sekali gus beraksi dalam perlawanan itu,” katanya.