Rabu, 2 Oktober 2013

Rajagobal tenang hadapi musibah


BARISAN pelatih Harimau Malaya mula menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya kelmarin.


PENGENDALI Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal (gambar kecil) tidak rela lagi kehilangan khidmat tonggak utama menjelang aksi menentang Bahrain pada kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, 15 Oktober ini.

Terdahulu, Rajagobal kehilangan tiga pemain – Wan Zack Haikal Wan Nor, Mohd. Fadhli Shas dan Azamud- din Akil – yang ditimpa masalah kecederaan.

Justeru Rajagobal berkata, beliau akan cuba mencari pengganti tempat Wan Zack yang dijangka berehat sekurang-kurangnya enam bulan ekoran kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada lutut kanan.

“Sebelum ini, Fadhli mengalami kecederaan MCL (Medial Collateral Ligament) dan terbaharu, Wan Zack pula ditimpa kecederaan ACL.

“Sudah tentu ia mengganggu perancangan pasukan selepas kehilangan dua tonggak utama ini.
“Namun, saya kena fikir pemain mana mampu menggantikan tempat mereka pada perlawanan menentang Bahrain nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Rajagobal berkata, beliau juga masih memantau perkembangan Azamuddin yang dilaporkan mengalami kecederaan pangkal paha.

“Kita masih ada Khyril (Muhymeen Zambri), Fakri Saaraani dan saya akan tengok siapa yang sesuai ganti (tempat) Wan Zack. 

“Saya mahu bagi kelonggaran kepada pemain-pemain (beraksi pada suku akhir Piala Malaysia) kerana saya tidak mahu lagi kehilangan pemain utama.

“Sebaik mereka kembali bersama pasukan, baru saya akan lihat siapa yang mampu beraksi menentang Bahrain nanti,” tambahnya.

Ketika ini, Rajagobal hanya dapat mengumpul 11 pelatih bagi mengikuti kem latihan Harimau Malaya.

Ini kerana 17 lagi pemain masih mempunyai tugasan bersama pasukan masing-masing bagi mengharungi aksi suku akhir Piala Malaysia.

Ditanya mengapa beliau tidak memilih untuk mengadakan latihan bersama skuad Harimau Muda kendalian Ong Kim Swee, Rajagobal memberitahu: “Saya ada cara tersendiri untuk mengatasi situasi tersebut.

“Saya hanya mahu memberi tumpuan kepada pasukan. Bukan kita tidak mahu main (dengan Harimau Muda) tetapi saya ada perancangan tersendiri.

“Kecederaan bila-bila masa boleh berlaku. Saya tidak mahu gangguan kepada para pemain dan cukuplah latihan ini buat sementara.”

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan