Rabu, 2 Oktober 2013

Mancini jadi pilihan bimbing Galatasaray


MANCINI (kiri) meninggalkan hotel selepas mengadakan perbincangan dengan Galatasaray di Istanbul, Turki kelmarin.


ISTANBUL - Bekas pengurus Manchester City, Roberto Mancini disahkan telah menandatangani kontrak selama tiga tahun dengan Galatasaray untuk menggantikan tempat Fatih Terim yang dipecat minggu lalu.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan juara Turki itu, Mancini bakal menerima habuan lumayan sebanyak 3.5 juta euro (RM15 juta) untuk musim ini termasuk tambahan 4.5 juta euro (RM19 juta) bagi dua musim akan datang.

Pengendali kelahiran Itali yang meninggalkan City pada musim panas lalu bakal memperolehi bonus sebanyak 300,000 euro (RM1,319,775) sekiranya berjaya membawa Galatasaray mara ke suku akhir Liga Juara-Juara dan menjulang Liga Turki pada musim ini.

Mancini, 48, tiba di Istanbul pada Ahad lalu dan bertemu dengan pihak pengurusan Galatasaray yang mencari pengganti sejak Terim dipecat minggu lalu.

Mancini telah dipecat sebagai pengurus skuad The Citizens pada Mei tahun lalu selepas membantu kelab gergasi England itu menjulang kejuaraan Liga Perdana England.

Sepanjang bersama City, beliau yang berjaya menamatkan kemarau 35 tahun untuk menjulang trofi liga sejak 1968 selain turut berjaya menjulang trofi Piala FA 2011.

Galatasaray bermula hambar pada musim ini meskipun berjaya mendapatkan khidmat bekas penyerang Chelsea, Didier Drogba.

Mereka kini ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu liga, Fenerbahce selepas sekadar menang satu dari lima perlawanan liga termasuk kekalahan 1-6 di tangan Real Madrid pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara lalu. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan