MADRID - Penyerang sensasi Real Madrid, Cristiano Ronaldo ternyata
berang dengan kenyataan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa
(FIFA), Sepp Blatter yang melabelkannya sebagai seorang 'komander di
tengah padang'.
Bercakap dalam satu majlis di Universiti Oxford minggu lalu, Blatter
menjelaskan, beliau lebih menggemari Pemain Terbaik Dunia empat kali,
Lionel Messi berbanding Ronaldo yang disifatkannya lebih mementingkan
gaya rambut.
Ronaldo juga berada di belakang Messi dalam tiga daripada empat
undian anugerah Ballon d'Or, meskipun bintang Portugal itu pernah
memenanginya sekali ketika bersama Manchester United pada 2008.
Ronaldo dan Messi sekali lagi tersenarai dalam senarai pendek 23 calon pemain bagi anugerah tersebut bagi tahun 2013.
"Video itu jelas menunjukkan tanggapan dan tahap rasa hormat FIFA kepada kepada saya, kelab saya dan juga negara saya.
"Semuanya telah terbukti sekarang. Saya harap Blatter akan terus
sihat dan panjang umur supaya dia dapat menyaksikan kejayaan pasukan dan
pemain kegemarannya," jelas Ronaldo dalam laman sosial Facebook
miliknya.
Kenyataan Blatter itu jelas mencetuskan kemarahan Real dan
Persekutuan Bola Sepak (FA) Portugal yang menghantar surat aduan kepada
FIFA atas sikap Blatter.
Begitupun, Blatter mempertahankan kenyataannya itu sambil
menjelaskan, beliau percaya Ronaldo memiliki kehebatan yang sama dengan
Messi sebagai seorang pemain bola sepak.
"Saya mahu jelaskan bahawa bagi saya, Cristiano adalah sama hebat
dengan Messi dan kedua-duanya adalah pemain luar biasa di dunia dalam
cara tersendiri.
"Bukan niat saya untuk menimbulkan kemarahan atau tidak menghormati
sesiapa termasuk pemain, peminat dan kelab Real Madrid," kata Blatter. -
AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan