|
MENGHIMPUNKAN dua generasi dalam satu pemidang gambar untuk kali ini
ada tujuannya. Bila dua waktu bertemu, mereka berkata-kata tentang
perbezaan dan persamaan yang dirasai pada zaman masing-masing. Tam
vokalis Spider manakala Andy orang depan Flop Poppy dan The Malayan
bercakap dari zaman generasi kedua.
Begitu juga Nomad dan Daniel vokalis Loka yang menuntut bicara
menurut perspektif mereka, generasi keempat dalam sejarah hirarki grup
muzik Malaysia.
Bukan setakat itu sahaja, Tam merupakan produser bagi lagu hits Nomad
kini Tetap Menantimu manakala Andy bukan sahaja ayah namun juga mentor
kepada anaknya Daniel yang baru melangkahkah kaki sendiri ke industri
muzik.
Meletakkan mereka dalam satu sidang temu, topik kualiti, kuantiti,
perjalanan karier malah perbezaan zaman diangkat sebagai bahan
percakapan. Melalui sembang-sembang petang beralas kopi dan pisang
panas, mereka bertukar pendapat yang melibatkan industri muzik tempatan,
tentang zaman analog dan digital.
Merujuk masuk ke dalam permasalahan yang menempa industri, di mana
sekarang anak-anak muda terutama grup susah mendapat penawaran panggung
apatah lagi dengan jumlah ramai yang pernah dikutip grup-grup besar
seperti Search, Wings, Sweet Charity atau di zaman-zaman Spider atau
Flop Poppy. Makin lama makin kedengaran keluhan tiada tawaran pentas
mahu pun penonton yang cukup membanggakan untuk sebuah persembahan.
Jangan perasan
"Grup baharu jangan perasan rugged," satu pernyataan yang tampak
keras tetapi jujur keluar lembut daripada mulut Andy yang merupakan
vokalis beberapa grup serta pemain bass.
"Kalau melihat pergerakan pasaran sekarang, grup generasi kami masih
mendapat permintaan untuk membuat persembahan, malah tidak berhenti,"
ulas Andy merujuk kepada grup seperti Flop Poppy, Subculture, Spider
sebagai grup generasi kedua.
"Jujur cakap, grup baharu memang banyak keluarkan produk tetapi
kurang menyengat. Tetapi jangan berhenti untuk mengeluarkan produk,"
nasihat Andy umpama seorang abang dalam famili muzik.
Apa yang penting kata Andy, pengeluaran perlu mengikut akar muzik
Malaysia. Walau diasak modenisasi dan mengikut aliran sezaman namun
jangan dilupakan akar yang mencengkam bumi.
"Sebenarnya tidak ada jurang yang besar antara generasi terdahulu dan
baharu. Kami boleh main lagu-lagu seperti The Killers namun dalam masa
yang sama peminat baharu melihat perjalanan kami. Untungnya generasi
kami ialah kami dapat memainkan lagu-lagu 1980-an dan dalam masa yang
sama bergerak ke hadapan," ulasnya.
"Generasi kami dan sebelumnya punya peminat setia yang membeli produk
fizikal serta merchandise. Variasi grup dahulu membuatkan masing-masing
ada kekuatan tersendiri. Grup atau penyanyi baharu kena cari identiti
sebenar," tambah Andy.
"Budak sekarang banyak teknikal daripada jiwa," tambahnya.
"Pemuzik atau penyanyi kena tanya apa yang mereka mahukan. Perkara
yang penting ialah cari orang yang betul untuk dirujuk. Cari orang yang
berada dalam arena. Penting untuk ada idea dan semangat," kata Andy.
"Cuba ingat balik, dahulu satu grup boleh main 45 minit dalam satu
gig. Cuma lima grup tetapi kini lambakan sampai 20 grup dalam satu
persembahan. Lagu pun boleh bawa beberapa, tak sempat nak 'panas'
panggung," katanya.
Rasa pengalaman studio
Tegas Tam di awal bicaranya, segala yang dikongsi bukan bermaksud
untuk memberi komentar keras kepada generasi digital tetapi sekadar
berkongsi.
"Saya rasa anak muda sekarang perlu rasa pengalaman bekerja di studio
sebenar. Merasai suasana rakaman dan lihat perjalanan itu. Kalau kita
lihat sekarang, banyak yang buat studio di rumah dan bekerja sendiri,
suasana itu lain," ulasnya yang membesar di Studio Ronggeng, Luncai
Emas.
"Penyanyi baharu perlu cemerlang untuk bersaing. Kadangkala faham
sahaja tidak mencukupi kalau tidak ada ilmu yang cukup serta rasa. Kena
tahu asal usul muzik serta budaya sendiri. Bagi saya, pemuzik atau
penyanyi baharu kena banyak mentelaah. Sedih juga ada yang tidak mahu
bercampur dengan senior. Mungkin mereka malu, itu saya faham. Tetapi
kalau dapat bercampur maka dapatlah berkongsi informasi dan pengalaman.
Tanya apa yang perlu dan kalau boleh sentiasa minta pendapat kedua atau
ketiga daripada pakar-pakar," pendapat Tam diberikan satu persatu.
Melihat kepada bakat baharu yang banyak muncul di persada seni tanah
air, Tam melihat dari mata produser dan peneliti bahawa mereka ini ada
bakat yang bagus. Cuma kadangkala cara mereka tersasar dan bagi vokalis
Spider ini yang penting jangan salah guna kelebihan yang ada.
"Harus diingat bahawa suka dan mampu adalah dua perkara yang berbeza.
Jangan ingat bila kita ada komputer riba, sudah cukup untuk buat lagu.
Itu kesilapan besar. Kena tahu bahawa tugas produser sangat penting
tetapi sekarang ramai yang tak tahu malah tak rasa satu keperluan. Grup
antarabangsa pun masih guna produser," tegas Tam.
Sambung Tam penuh nasihat, jangan hanya dengan satu klik di depan komputer ramai yang sudah berasa pandai.
"Pengetahuan penting, juga pengalaman. Kita kena tukar persepsi yang
menyatakan muzik tidak menjanjikan masa hadapan. Walhal di belakang
dunia muzik terdapat banyak pekerjaan yang serius dan profesional,"
tegasnya .
Budak baru belajar
Bercerita tentang pengalaman studio, Nomad mendakwa, dia masih cuba
menguasai ilmu studio. Awalnya dia menyangkakan semuanya berjalan mudah
namun masuk dalam suasana realiti ketika merakamkan lagu Tetap Menantimu
dan menatap Tam sebagai penerbit, dia tahu untuk berpijak di dunia
nyata.
"Dunia rakaman sangat susah tetapi Tam banyak mengajar saya. Begitu
juga bila berada di pentas, saya dipukul dengan panik yang hebat. Ini
kerana penonton mahu dengar lagu tersebut sama seperti yang mereka
dengar di radio. Itu menghantui saya secara psikologi," cerita Nomad.
Masuk ke jalur sebenar dunia muzik, Nomad melahirkan rasa sedih
melihat kepada kurangnya sokongan terhadap pembelian album secara
fizikal. Luahnya dia bangga melihat penjualan yang ditempa grup generasi
lama.
"Melangkah masuk ke dalam industri, baru saya tahu permainannya. Baru
saya tahu arah tuju sebagai penyanyi. Bagi saya, khidmat seorang
produser itu sangat penting dalam pembikinan muzik. Mereka ini golongan
profesional. Bila saya jumpa Tam, dia banyak melakukan eksplorasi
terhadap bakat saya dan baru saya tahu saya berkemampuan menyanyikan
lagu balada," luah jejaka berumur 25 tahun ini.
"Saya juga belajar daripada para senior bahawa jangan hanya target
mahu jadi penyanyi tetapi penghibur dan insan yang cemerlang dalam
industri. Kita kena jadi diri sendiri dan jujur," senyum pemilik nama
Nur Mohd. Alieef Ayub ini.
Sudah muncul dengan klip video single perdananya yang kini dapat
disaksikan di laman YouTube, Nomad menanam satu lagi pelajaran dalam
dirinya. Tentang kepentingan para pemuzik yang banyak membantu dalam
proses rakaman sesebuah lagu.
"Kadangkala orang lepas pandang pada para pemuzik yang berada di
belakang sesebuah lagu. Mereka ini banyak membantu dan sebenarnya yang
menghasilkan warna dalam sesebuah lagu," usai Nomad berbicara.
Daniel tonton dari kecil
Sementara itu, anak sulung Andy, Megat Daniel mengaku dihimpit rasa
cemburu apabila melihat perjalanan dan laluan grup generasi 'babah'nya.
"Grup dahulu bersatu tapi zaman sekarang sudah kurang. Saya cemburu
melihat keakraban kumpulan dahulu. Mereka tidak malu dan kekok berkongsi
cerita. Saya melihat ini dari kecil sewaktu mengikut babah ke studio
atau persembahan. Budak sekarang lebih banyak hujah daripada bersatu,"
luahnya dalam nada kecewa.
Melihat daripada aspek kreativiti, Daniel menyanjungi pemuzik dahulu
yang sentiasa menyokong pergerakan masing-masing dan punya identiti yang
kuat dalam bermuzik.
"Saya mahu belajar daripada senior-senior ini tentang penulisan lagu.
Bagaimana mereka menghasilkan lagu yang berkualiti. Ada rasa," luahnya
yang kagum dengan lagu-lagu para pemuzik dan komposer terdahulu.
Memegang status penyanyi Loka dan gitaris The Malayan, Daniel mengaku
melakukan pemerhatian terhadap proses rakaman pemuzik senior. Semua ini
kemudian disatukan dengan percubaan dirinya belajar dan memahami muzik
mengikut naluri dan minatnya.
"Jangan ingat kerana saya anak Andy jadi jalan saya senang. Tidak.
Babah tidak bagi muka, dia mahu saya belajar dan melihat sendiri
segalanya untuk jadi pengalaman berharga. Untungnya kerana saya
dikelilingi oleh pemuzik senior, kawan-kawan babah yang profesional dan
serius dalam bidang muzik," senyum vokalis Loka yang kini terkenal
dengan lagu Jangan Pergi.
"Saya memang mahu belajar tentang pembikinan profesional sesebuah
produk lagu. Daripada aspek kreatif sehingga penyusunan dan bunyian.
Semua ini saya perolehi daripada studio. Kena banyak bertanya kepada
yang pakar dan bukan hanya belajar sendiri," ucap jejaka berumur 21
tahun itu.
Tambahnya lagi dia merasakan bahawa grup sekarang memerlukan banyak
bimbingan daripada pakar dan senior terutamanya dalam meletakkan jiwa ke
dalam lagu hingga menumbuhkan identiti sesebuah grup atau penyanyi itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan