"IA kemahuan para pemain dan kami perlu menghormati kemahuan mereka."
Itu reaksi jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan
ketika diminta mengulas isu pertukaran venue aksi separuh akhir pertama
Piala Malaysia menentang Kelantan pada 18 Oktober ini.
Kelmarin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima rayuan
Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera (PBAT) yang pada mulanya meminta
aksi tersebut diadakan di Stadium Shah Alam.
Namun, disebabkan banyak rungutan daripada barisan pemain ATM, PBAT
meminta aksi itu kembali diadakan di gelanggang asal mereka - Stadium
Majlis Perbandaran Selayang.
Sathianathan mengakui kesilapannya sebelum ini yang terburu-buru mahu
mengadakan perlawanan itu di stadium lebih besar dan selesa serta
memiliki aspek kawalan keselamatan lebih bagus.
"Mungkin silap saya kerana sebaik sahaja kami melangkah ke separuh
akhir, saya ada berbincang dengan pengurusan tertinggi pasukan dan
mereka mencadangkan untuk mencari venue yang lebih besar dan selamat
untuk aksi separuh akhir pertama itu.
"Saya tanpa berfikir panjang terus mengemukakan permohonan kepada FAM untuk kami bermain di Shah Alam.
"Namun, pemain-pemain meluahkan kepada saya mereka tidak mahu bermain di Shah Alam kerana lebih selesa di Selayang.
"Saya terus mengemukakan perkara itu kepada pihak pengurusan dan
mereka minta saya memohon untuk kami bermain di Selayang," kata
Sathianathan kelmarin.
Sathianathan berkata, beliau telah menuruti segala kemahuan para
pemainnya dan berharap mereka dapat memberikan aksi terbaik ketika
melayan kunjungan Kelantan di Selayang nanti.
"Kami akan menjalani latihan seperti biasa dan saya hanya memberi
para pemain pelepasan sehari untuk Hari Raya Aidiladha dan selepas itu,
kami akan kembali berlatih sebelum menentang Kelantan Jumaat ini.
"Saya lihat motivasi para pemain sangat baik dan saya harap ia dikekalkan sehingga sepak mula separuh akhir nanti," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan