Jumaat, 25 Oktober 2013

Legenda Sarawak cetus semangat Ngap Sayot


TIADA siapa menaruh harapan tinggi kepada Sarawak untuk melangkah jauh pada saingan Piala Malaysia meskipun tampil dengan reputasi selaku juara Liga Premier musim ini.

Tidak cukup dengan itu, pasukan yang pernah dilabel sebagai 'cap ayam' ini bukanlah calon utama mara ke separuh akhir, namun dengan status tersebut membuatkan Bujang Senang bingkas bangkit mengejutkan juara Liga Super, Lions XII, Perak, Kedah dan Sime Darby.

Bagi legenda Ngap Sayot, Awang Mahyan Awang Mohamad, 62, skuad Bujang Senang bimbingan Robert Alberts kali ini merupakan sandaran terbaik untuk Sarawak memburu kejuaraan berganda musim ini.

"Sarawak sudah lama tidak beraksi di pentas final, malah kita tidak pernah jadi juara Piala Malaysia.
"Kali terakhir Sarawak mara ke pentas final Piala Malaysia ialah pada edisi 1999 tetapi tewas kepada Brunei.

"Bagaimanapun, saya optimis berdasarkan prestasi semasa, Sarawak mampu beraksi di medan final.
"Dengan sokongan padu penyokong sendiri, saya yakin pemain akan berjuang habis-habisan untuk menewaskan Pahang di Stadium Negeri esok (malam ini)," katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuching semalam.

Awang Mahyan yang turut digelar 'bapa revolusi bola sepak Sarawak' selepas membawa Ngap Sayot melalui zaman kegemilangan sekitar tahun 1989 menambah, anak-anak buah Alberts masih mempunyai peluang cerah untuk melayakkan diri ke final.

Katanya, para pemain Sarawak tidak harus mengambil mudah saingan skuad kendalian Dollah Salleh itu jika ingin merealisasikan impian mara ke pentas final.

"Pemain tidak boleh dibuai dengan kelebihan satu gol di tempat lawan, sebaliknya apa yang penting sekarang ialah memberi fokus sepenuhnya untuk mencari defisit dua gol pada perlawnan nanti.
"Saya sendiri cukup teruja dan amat berbangga dengan pasukan Sarawak. Jadi, inilah detik paling penting dalam karier setiap pemain untuk menyala impian mara ke final seterusnya menjulang trofi Piala Malaysia," katanya.

Pencipta slogan Ngap Sayot itu turut mengakui, Muamer Salibasic merupakan aset bernilai untuk Sarawak menggerakkan serangan bagi merobek gawang Tok Gajah.

"Selain itu, corak permainan Sarawak pada aksi kedua malam ini dijangka berubah wajah dengan kehadiran semula 'ayam tambatan', Joseph Kalang Tie selaku perancang utama.

"Kehadiran Ronny Harun turut menjadi kunci kekebalan pertahanan Sarawak bagi memperkukuhkan benteng daripada dirobek pemain Pahang," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan