LONDON - Arsene Wenger yakin Arsenal membuat keputusan yang tepat
untuk membeli Mesut Ozil daripada Real Madrid dengan rekod perpindahan
tertinggi kelab itu pada 2 September lalu.
Wenger menyuarakan keyakinan itu selepas pemain tengah kreatif Jerman
tersebut membantu Arsenal menewaskan Napoli 2-0 pada aksi kedua
Kumpulan F kempen Liga Juara-Juara di Stadium Emirates awal pagi
semalam.
Selain meledakkan gol pertamanya dengan Arsenal pada minit kelapan,
Ozil turut membantu penyerang Perancis, Olivier Giroud menyumbat gol
kedua skuad The Gunners pada minit ke-15.
Wenger, 63, membelanjakan £42.5 juta (RM222.6 juta) untuk membeli
Ozil dan ketibaan perancang itu banyak membawa perubahan kepada jentera
serangan Arsenal.
Arsenal melengkapkan perpindahan mega itu selepas dikritik hebat para
peminat ekoran kekalahan 1-3 kepada Aston Villa pada aksi pembukaan
Liga Perdana England, 17 Ogos lalu.
Ketibaan Ozil telah memberi impak yang sangat besar dan dia tidak
menunggu lama untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan Arsenal dan
rakan-rakan sepasukan yang lain.
Arsenal memenangi lima daripada enam perlawanan sejak Ozil menyarung jersi kelab itu.
Wenger berkata, kejayaan Ozil menjaringkan gol sulungnya itu dianggap
sebagai permulaan untuk menghadapi satu musim yang hebat baginya.
"Penampilan Ozil pada separuh masa pertama sangat menakjubkan. Dia
telah memperaga teknik individu yang menarik dan penyudah yang sangat
tajam. Saya sangat terhibur menyaksikan corak permainannya.
"Saya sangat meminatinya semasa dia bermain dengan Real. Saya rasa
dia sangat hebat di sana dan kami sangat bertuah kerana dapat
memilikinya.
"Dia seronok bermain dengan pasukan ini dan dia sangat cepat untuk mengadaptasi gaya permainan kami.
"Dia hadir tepat pada masanya dan telah banyak membantu kami setakat ini," kata Wenger.
Kejayaan menewaskan Napoli yang dibimbing bekas pengurus Liverpool
dan Chelsea, Rafael Benitez itu cukup penting buah anak-anak buah
Wenger.
Ketika ini, Arsenal memimpin kedudu- kan teratas dalam Kumpulan F
selepas mengumpul enam mata, masing-masing tiga mata di depan Napoli dan
Borussia Dortmund manakala Marseille di tangga keempat selepas gagal
mengutip sebarang mata sepanjang dua perlawanan pertama.- AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan