Isnin, 7 Oktober 2013

Bintang United kecewakan Moyes Rooney


LONDON - Wayne Rooney mengakui, barisan pemain bintang Manchester United telah mengecewakan pengurus, David Moyes musim ini. 

"Sudah tentu pengurus kini berada di bawah tekanan.

"Kami sedar, sebagai sebuah pasukan.. kami yang mengecewakannya. Kami patut berkerja keras demi pengurus dan buktikan semangat juang yang kami miliki," ujar bintang penyerang England itu. 

Tekanan amat dirasai oleh United ketika menentang Sunderland, Sabtu lalu, apatah lagi lawan terlebih dulu membuka jaringan menerusi Craig Gardner dan penjaga gol Red Devils, David De Gea pula dipaksa berhempas pulas pada babak pertama.

United bagaimanapun diselamatkan oleh permainan cemerlang pemain tengah berusia 18 tahun, Adnan Januzaj yang meledak dua gol cantik pada penampilan sulung Liga Perdana.

Rooney menyifatkan aksi goyah yang dipamer United pada awal musim sebagai tempoh peralihan.
"Ia disebabkan kami mempunyai pengurus baharu yang punya gaya berbeza dan setiap pemain sedang berusaha untuk menyesuaikan diri.

"Kami harus segera memperbaiki prestasi dan bermain mengikut apa yang dimahukan pengurus," ujar Rooney lagi.

Kerapuhan benteng United dan kurangnya kreativiti di bahagian tengah dilihat sebagai punca utama penyandang juara itu kini menghuni tangga kesembilan liga. 

Sementara itu, United semalam menawarkan kontrak baharu kepada Januzaj yang membolehkan pemain remaja itu menikmati gaji lumayan, 60,000 pound (RM306,700) seminggu. 

Pada ketika kontraknya sekarang akan luput dalam tempoh lapan bulan, sudah ada beberapa kelab menyuarakan minat untuk melamar pemain itu, justeru Moyes enggan berlengah dengan menawarkan sesuatu yang mampu memastikan Januzaj kekal di Old Trafford. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan