Sabtu, 26 Oktober 2013

Kelantan berhak mara ke final



HODAK meraikan kejayaan Kelantan mara ke final Piala Malaysia 2013 selepas menyingkirkan ATM dengan agregat 4-3 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin.


KEBANGKITAN yang dijelmakan barisan pemain Kelantan pada 20 minit terakhir melayakkan mereka mara ke pentas final Piala Malaysia musim ini.

Anak-anak buah Bojan Hodak mara selepas menyingkirkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan agregat 4-3 setelah aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin berakhir dengan seri 2-2.

Keputusan seri itu sudah memadai buat Kelantan untuk mara ke pentas final buat kali keempat dalam tempoh lima tahun, sekali gus meranapkan impian ATM untuk menebus kekecewaan tumpas 3-2 pada aksi final musim lalu.

Hodak menganggap kejayaan itu hasil semangat juang tinggi barisan pemain yang tidak mudah berputus asa walaupun ketinggalan 0-2 kepada ATM pada perlawanan tersebut, sebelum bangkit untuk mengikat kedudukan menjadi 2-2.

Menurutnya, kelemahan fizikal lawan pada 20 minit terakhir digunakan sebaik mungkin oleh barisan pemainnya dengan berjaya meledakkan gol semangat menerusi pemain gantian, Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-82 yang menjadi titik tolak kebangkitan skuad The Red Warriors.

“Tidak ada pasukan yang mampu beraksi secara mendesak sepanjang tempoh 90 minit dan situasi ini dapat dilihat apabila fizikal pasukan lawan (ATM) menjadi lemah ketika perlawanan berbaki 20 minit lagi untuk tamat.

“Kami mempunyai banyak ruang dan mendominasi perlawanan sehingga berjaya menjaringkan gol.
“Bagi saya, jaringan yang dihasilkan oleh Ahmad Fakri cukup baik dan penuh dengan kualiti sebagai antara penyerang terbaik Kelantan,” katanya.

Pada perlawanan tersebut, B. Sathianathan mengotakan janji bahawa skuad bimbingannya akan bangkit apabila berjaya meledakkan dua jaringan awal pada babak pertama melalui penyerang berbisa, Marlon Alex James yang telah mengunci mulut penyokong setia skuad The Red Warriors.

Bagaimanapun, tempoh 10 minit terakhir perlawanan ternyata menjadi milik Kelantan yang memperoleh gol pertama menerusi rembatan kencang penyerang gantian, Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-82 sebelum kapten, Mohd. Badhri Radzi menjaringkan gol kedua The Red Warriors berselang tiga minit kemudian bagi menjadikan kedudukan agregat 4-3.

Pengendali kelahiran Croatia itu turut mengakui, kelemahan barisan tengah serta rentak permainan yang agresif daripada pihak lawan menjadi punca pasukan itu seakan-akan hilang punca pada babak pertama sehingga membuka ruang kepada pelawat menjaringkan gol.

Katanya, Kelantan dijangka berdepan laluan sukar di pentas final apabila tonggak pertahanannya, Obinna Nwaneri tidak dapat beraksi selepas mengumpul dua kad kuning.

Dalam pada itu, Hodak turut memuji ketajaman penggempur berbisa ATM, Alex James yang disifatkan sebagai antara pemain terbaik dalam saingan Liga Malaysia sepanjang 10 tahun.
Katanya, meskipun sudah berusia, kesungguhan yang tinggi serta tidak mudah putus asa perlu dicontohi oleh pemain muda di negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan