Ahad, 13 Oktober 2013

Ivory Coast, Burkina Faso langkah kanan



DROGBA (tengah) meraikan kejayaan bersama rakan-rakan sebaik membuka jaringan.


IVORY COAST – Didier Drogba menghadirkan impak besar buat Ivory Coast selepas menyempurnakan penalti seawal minit kelima untuk membakar semangat tuan rumah ketika menewaskan Senegal 3-1 pada aksi pertama playoff kelayakan Piala Dunia awal pagi tadi.

Burkina Faso turut langkah kanan apabila menewaskan Algeria 3-2 selepas kebangkitan menerusi penyerangnya, Aristide Bance yang pada awalnya mensia-siakan sepakan penalti.

Begitupun, Algeria masih mempunyai peluang untuk bangkit pada aksi timbal balik bulan depan berikutan dua gol di tempat lawan yang diraih pada perlawanan itu.

Aksi kelayakan Piala Dunia untuk Afrika yang bermula dua tahun lalu kini sudah berkurang kepada 10 pasukan dengan lima perlawanan playoff untuk merebut lima slot bagi benua itu untuk pusingan akhir di Brazil tahun depan.

Gol awal Drogba ternyata menyemarakkan semangat skuadnya untuk mempertahankan kelebihan di laman sendiri sebelum sedikit dihampakan oleh jaringan penyerang Senegal, Papiss Cisse pada masa kecederaan di Stadium Felix Houphouet-Boigny.

Selepas jaringan pembukaan Drogba, Lamine Sane menjaringkan gol sendiri pada minit ke-14 dan Salomon Kalou menyumbat gol ketiga pada awal separuh masa kedua.

Ivory Coast akan beraksi menentang Senegal di Casablanca untuk aksi timbal balik kerana stadium utama di Dakar digantung kerana rusuhan peminat ketika pasukan itu bertemu pada aksi kelayakan Piala Afrika tahun lalu.

Sementara itu, Burkina Faso yang tidak pernah layak ke Piala Dunia membuat kejutan ke atas Algeria dengan kelebihan satu gol.

Begitupun, Algeria yang turut berharap dapat beraksi ke pusingan akhir untuk kali kedua percaya aksi timbal balik pada 19 November ini akan menyebelahi mereka.

“Jika kami menang 1-0 ia sudah cukup. Perlawanan kedua akan menjadi lebih sukar untuk Burkina Faso. Kami masih mempunyai harapan.

“Saya sangat optimis,” kata pembantu jurulatih, Nourredine Kourichi. – AP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan