Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
|
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menggantung 17 pengadil
perlawanan Liga Malaysia (Liga M) yang didapati tidak menepati piawaian
serta kriteria yang telah ditetapkan oleh badan induk itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk Astaman Aziz memberitahu,
FAM telah mengambil tindakan tersebut hasil daripada laporan penilaian
pengadil sejak Januari sehingga Jun lalu.
Jelas Astaman, hukuman tersebut dibuat selepas mengambil kira laporan
daripada pegawai penilai yang mendapati beberapa keputusan yang dibuat
oleh pengadil terbabit terlalu mengikut emosi.
Jelasnya, kesemua individu yang digantung itu tidak akan dibenarkan
mengendali sebarang perlawanan dalam saingan Liga Super musim depan
sehingga tempoh pengantungan mereka berakhir.
"Berdasarkan 714 perlawanan yang berlangsung musim ini, FAM menerima
lima aduan rasmi berhubung mutu pengadilan dalam saingan Liga Malaysia
(Liga M).
"Lima aduan itu adalah dari Johor (dua aduan) dan satu aduan
masing-masing dari Perak, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan
Terengganu.
"Hasil siasatan daripada aduan tersebut, kami telah menggantung empat
pengadil manakala 13 lagi digantung berdasarkan laporan pegawai penilai
sejak Januari sehingga Jun lalu," kata Astaman kepada Kosmo! semalam.
Sebelum ini , Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ),
Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui kesal dengan mutu pengadilan Liga M
yang dianggap berada pada tahap membimbangkan.
Selain PBNJ, Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Persatuan Bola Sepak
Negeri Terengganu (PBSNT) turut dilapor mengemukakan laporan rasmi
mengenai mutu pengadilan kepada FAM.
Perak tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil selepas seri 1-1
dengan Lions XII pada aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh pada 25 Jun
lalu.
Terengganu pula mempertikaikan kredibiliti pengadil selepas
melayangkan dua kad merah kepada Abdul Manaf Mamat dan Emmanuel Effa
Owona pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu 28 Mei lalu.
Dalam perkembangan lain, Astaman memberitahu, undang-undang
pengisytiharan harta kepada pengadil tidak melibatkan ahli keluarga
mereka .
"Undang-undang itu hanya berkuatkuasa kepada pengadil tanpa melibatkan ahli kelaurga mereka.
"Ia disebabkan kebanyakan mereka hanya menjadi pengadil sambilan dan
kemungkinan besar mereka sudah terikat dengan undang-undang itu dengan
pekerjaan tetap," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan