Rabu, 17 Julai 2013

PSG pecah rekod

PARIS - Paris Saint-Germain memecah rekod perpindahan Liga Perancis kelmarin apabila membeli penyerang Uruguay, Edinson Cavani untuk kontrak lima tahun yang dilaporkan bernilai 64 juta euro (RM268 juta).


Rekod perpindahan termahal sebelum ini milik Monaco yang membayar Atletico Madrid 60 juta euro (RM251 juta) untuk penyerang Colombia, Radamel Falcao.

Perpindahan Cavani adalah yang kelima termahal dalam sejarah bola sepak dunia.
Dia di belakang Cristiano Ronaldo yang meninggalkan Manchester United ke Real Madrid, Zinedine Zidane bertukar angin dari Juventus ke Real Madrid, Zlatan Ibrahimmovic dari Inter Milan ke Barcelona dan Kaka yang berpindah dari AC Milan ke Real Madrid.

"Ketibaan Cavani merupakan bukti bahawa kami masih meneruskan projek untuk mengubah PSG kepada kelab terbaik Eropah," kata Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi.

Cavani, yang bakal menyarung jersi No. 9, merupakan penjaring terbanyak Liga Itali musim lepas dengan 29 gol. Dia mengetuai Napoli merangkul Piala Itali pada 2012 dan muncul naib juara dalam aksi Serie A tahun ini.

"Saya menimba pengalaman yang hebat selama tiga tahun di Napoli. Tetapi saya selalu mahu cuba memperbaiki diri saya ke tahap yang lebih baik. Saya ditawarkan dengan projek yang menarik di PSG.

"Saya tidak pernah berasa ragu untuk datang ke sini apabila saya menyaksikan kepercayaan yang kelab beri kepada saya. Projek ini amat bercita-cita tinggi, meningkatkan motivasi. Mereka merupakan antara kelab terbaik di dunia. Kelab ini juga merupakan antara pasukan yang mampu memenangi Liga Juara-Juara,' kata Cavani.

Dengan termeterai pembelian pemain pertama, sekurang-kurangnya PSG berjaya memulihkan sedikit semangat yang direntap ekoran pemergian jurulatih, Carlo Ancelotti yang berpindah ke Real Madrid dan peletakan jawatan pengarah sukan warga Brazil, Leonardo, minggu lalu.

Ketibaan Cavani bakal meringankan beban yang digalas Zlatan Ibrahimovic. Ibrahimovic menjadi tonggak kepada kejayaan PSG muncul juara liga buat kali pertama sejak 1994 pada musim lepas. - AP

Penyerang Sweden itu menjadi penjaring terbanyak Liga Perancis dengan 30 gol bagi musim 2012-13, sementara pemain lain di benteng hadapan, Jeremy Menez, Kevin Gameiro dan Ezequiel Lavezzi masih bergelut bagi mendapatkan sentuhan jaringan. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan