Isnin, 22 Julai 2013

Saya cukup bagus untuk saingi Cech - Schwarzer

 

KUALA LUMPUR - Mark Schwarzer mungkin cuma pemain tambahan dalam skuad Chelsea musim depan, namun penjaga gol veteran Australia itu memberitahu dia bersedia untuk bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama pada musim baharu nanti.

"Ketika saya menandatangani kontrak dengan Chelsea, saya tahu kelab ini memiliki beberapa penjaga gol berkualiti dan persaingan akan menjadi sangat sengit.

"Begitupun dengan kerja keras dan prestasi yang bagus, saya boleh buktikan kepada pengurus bahawa saya cukup baik untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan," kata Schwarzer kepada pemberita dalam kunjungannya ke Kuala Lumpur, semalam. 

Schwarzer menyertai Chelsea menerusi perpindahan percuma bulan ini selepas menghabiskan sebahagian besar kariernya bersama Fulham dan Middlesbrough. 

Pengurus Chelsea, Jose Mourinho minggu lalu berkata, kehadiran penjaga gol berusia 40 tahun itu akan menghadirkan persaingan positif dalam pasukan, selain memberi motivasi kepada penjaga gol utama mereka, Peter Cech. 

Mourinho sebelum ini menjelaskan, dia mengiktiraf Cech sebagai penjaga gol terbaik di dunia tetapi membawa masuk Schwarzer akan memberi jaminan 'keselamatan' kepada Chelsea kerana penjaga gawang itu memiliki pengalaman untuk mengisi kekosongan Cech pada bila-bila masa yang diperlukan. 

Schwarzer, yang telah beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris sejak 15 tahun lalu, antara penjaga gol yang memilik rekod h ebat dengan beraksi dalam 500 perlawanan, satu rekod liga. 

Walaupun sudah lama berada dalam kancah Liga Inggeris, namun Schwarzer masih bernafsu untuk bermain di peringkat tertinggi, malah masih mempunyai prestasi yang bagus. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan