ROSARIO, Argentina - Gerardo Martino menganggap pemilihannya selaku
jurulatih baharu Barcelona telah dibantu oleh bintang juara Liga
Sepanyol itu, Lionel Messi.
"Saya tidak tahu secara terperinci apa yang diperkatakan oleh Jorge
(bapa Messi) serta Lionel bagi mempengaruhi pemilihan saya (sebagai
jurulatih), tetapi saya yakin mereka ada terlibat dengan pemilihan ini.
"Saya sangat pasti mereka ada memberi sokongan kepada lembaga
pengarah kelab Barcelona untuk memilih saya," kata Martino yang berasal
dari bandar yang sama dengan Messi iaitu Rosario di Argentina.
Pemilihan Martino sebagai pengendali baharu Barcelona ternyata
mengejutkan ramai pihak kerana beliau kurang dikenali, baik ketika
bergelar sebagai pemain mahu pun jurulatih.
Bulan lalu, nama Martino tiba-tiba muncul apabila beliau berjaya
membantu kelab Argentina, Newell's Old Boys muncul juara Piala
Argentina.
"Sejujurnya, jika saya tidak dibantu oleh sesiapa, saya pasti tidak berpeluang mendapat jawatan ini.
"Saya sangat terkejut dan saya juga tidak menyangka terpilih
membimbing sebuah kelab terbaik di dunia," kata Martino pada sidang
akhbar khas semalam.
Martino meninggalkan Newell's Old Boys dua minggu lalu selepas skuad
kendaliannya tersingkir pada saingan separuh akhir Piala Libertadores.
Barcelona yang terdesak untuk mencari jurulatih baharu selepas Tito
Vilanova terpaksa melepaskan jawatannya kerana perlu membuat rawatan
lanjut terhadap kanser tekaknya.
"Tugasan ini sangat penting dan berat. Ia hadir dalam keadaan
tergesa-gesa selepas jurulatih (Vilanova) terpaksa menerima rawatan
susulan.
"Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang memberi
kepercayaan kepada saya dan juga staf-staf kejurulatihan saya bagi
membawa Barcelona ke satu tahap lebih tinggi," kata Martino.
Martino yang dijangka tiba di Barcelona hari ini berharap mendapat
kerjasama daripada semua pihak bagi meneruskan legasi kelab terbaik di
dunia itu. - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan