MELBOURNE - Luis Suarez menolak sebarang kebimbangan bahawa dia tidak akan muncul dalam jelajah pra-musim Liverpool di Australia apabila tiba di Melbourne semalam untuk menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukan, yang tiba dari Jakarta.
Jika minggu lalu kehadiran Manchester United ke Australia dihujani
pelbagai persoalan mengenai masa depan bintang penyerang England, Wayne
Rooney, kali ini giliran Liverpool pula bakal berdepan situasi serupa
dengan isu Suarez akan menghambat pengurus mereka, Brendan Rodgers.
Bezanya, Rooney langsung tidak datang ke Sydney selepas dihantar
pulang dari Bangkok akibat kecederaan otot paha yang dialami pada sesi
latihan di sana, namun itu tidak menghalang David Moyes daripada
terpaksa menjawab soalan bertali arus daripada wakil media sepanjang
sidang akhbar.
Liverpool yang tiba di Melbourne selepas mengalahkan Indonesia XI 2-0
dalam siri Jelajah Australasian, membawa 28 pemain terbaiknya ke
Australia, termasuk ketua pasukan, Steven Gerrard.
Mereka akan berlatih di Stadium MCG, Melbourne malam ini di depan
12,000 peminat yang membeli tiket hanya untuk menyaksikan sesi latihan,
manakala perlawanan akan berlangsung pada Rabu ini.
Semua empat pembelian baharu Liverpool, Luis Alberto, Iago Aspas,
Kolo Toure dan penjaga gol, Simon Mignolet gagal memulakan aksi dengan
meyakinkan di Jakarta, manakala Gerrard sekadar beraksi untuk tempoh 45
minit kerana baru kembali selepas menjalani pembedahan bahu.
Philippe Coutinho menjaringkan gol selepas sembilan minit, manakala
Raheem Sterling menjadikan kedudukan 2-0 hasil sepakan sudut pada minit
ke-87.
Bagaimanapun, penjaga gol utama The Reds, Pepe Reine satu-satunya
pemain utama yang terlepas kunjungan ke Asia dan Australia kerana dia
sudah bersedia untuk meninggalkan Anfield bagi dipinjamkan kepada kelab
Serie A, Napoli.
Suarez, 26, yang masih diselubungi kontroversi perpindahannya tiba di
Melbourne beberapa jam sebelum rakan-rakannya tiba dari Jakarta, sekali
gus meningkatkan lagi persoalan mengenai spekulasi bahawa dia mungkin
meninggalkan Anfield.
Bagaimanapun, bintang penyerang Uruguay itu menegaskan, dia hanya
mahu menyertai rakan sepasukan di Australia dan tidak akan sama sekali
bercakap mengenai masa depannya.
Kelmarin, Real Madrid telah mengemukakan tawaran baharu 20 juta pound
(RM97.5 juta) ditambah dengan penyerang Argentina, Gonzalo Higuain
sebagai pertukaran dengan Suarez.
Liverpool dijangka bakal menarik kehadiran penyokong yang besar apabila menentang Melbourne Victory di MCG, Rabu ini.
Hanya cuaca buruk mampu menyekat mereka daripada membenarkan 95,000 penonton mengunjungi stadium.
"Dia (Suarez) kini berada dalam kapal terbang dan kami akan
berjumpanya di Melbourne. Saya sudah bersedia untuk bertemunya kerana
dia adalah pemain yang sentiasa mendapat sokongan saya.
"Saya faham situasi sekarang tetapi pada akhirnya, dia berkerja untuk
kelab. Wang masuk ke dalam akaunnya setiap bulan, jadi dia kena berada
di sini kerana kalau dia tidak datang, itu akan mengundang masalah,"
kata Rodgers, beberapa jam sebelum ketibaan Suarez di Melbourne. -
AGENSI
Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan