LIVERPOOL - Setelah tawaran pertama 30 juta pound
(RM147juta) ditolak, hajat Arsenal untuk mendapatkan Luis Suarez tidak
kesampaian apabila Liverpool enggan menerima bidaan kedua bernilai 40
juta pound (RM196 juta). Jumlah itu menyamai pelepasan minimum kontrak
yang disyaratkan terhadap pemain Suarez.
Ini menunjukkan Liverpool tetap enggan menjual Suarez di bawah harga 50 juta pound (RM245 juta).
Suarez mengadakan perbincangan lanjut mengenai masa depannya dengan
pengurus Liverpool, Brendan Rodgers selepas menentang Melbourne Victory,
semalam.
Pengurus Arsenal, Arsene Wenger dilihat cukup terdesak untuk
mendapatkan penyerang antarabangsa Uruguay itu selepas kempunan
mendapatkan penyerang Real Madrid, Gonzalo Higuain, yang akan menyertai
bekas pengurus Liverpool, Rafa Benitez di Napoli.
Kemungkinan Suarez menyertai Arsenal tidak akan menjadi kenyataan
kerana pengurus Liverpool, Brendan Rodgers ada menyatakan Suarez bakal
menghormati kontraknya yang berbaki tiga tahun.
Rodgers juga percaya penyerangnya itu mempunyai nilai yang sama
dengan Edinson Cavani, yang baru menyertai Paris Saint-Germain dengan
nilai 55 juta pound (RM279 juta).
Suarez menyertai Liverpool dari Ajax pada Januari 2011 dengan yuran
perpindahan 22.8 juta pound (RM111.6 juta) mengumumkan hasrat untuk
meninggalkan Anfield Mei lepas.
Dia mendakwa tidak dilayan dengan baik oleh media British dan
Persatuan Bola Sepak England. Dia digantung 10 perlawanan kerana
menggigit pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic pada perlawanan di
Anfield, 21 April lalu.
Awal bulan ini, dia mengakui cukup gembira dengan tawaran yang
dikemukakan oleh Arsenal dengan ejennya, Pere Guardiola mendakwa
penyerang itu mahukan aksi dalam Liga Juara-Juara.
Suarez ke Melbourne Ahad lalu untuk menyertai Jelajah Pra-Musim di
Asia Tenggara dan Australia, telah diberikan pelepasan oleh kelab
selepas membantu Uruguay di Piala Konfederasi di Brazil, bulan lalu.
Suarez masih perlu menjalani enam lagi penggantungan ekoran menggigit
Ivanovic dan tidak boleh beraksi sehingga September.- AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan