Ahad, 28 Julai 2013

Gerrard optimistik



GERRARD (tengah) dikerumuni para peminat ketika melakukan lawatan di Hospital Siriraj di Bangkok, Thailand kelmarin.


BANGKOK - Kapten Liverpool, Steven Gerrard optimis skuad The Reds memiliki kemampuan untuk layak ke kempen Liga Juara-Juara musim depan.

Bagaimanapun, Gerrard berkata, Liverpool harus menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik pada saingan Liga Perdana England terlebih dahulu jika berhasrat untuk kembali menggegar liga berprestij Eropah itu.

Bagi Gerrard, dia dan rakan-rakan sepasukannya berazam untuk memulihkan reputasi Liverpool yang sebelum ini dianggap sebagai kuasa besar bola sepak Eropah.

"Sudah tentu kami mahu kembali beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara. Kami sudah tidak merasainya beberapa musim yang lalu, jadi saya berharap masanya akan tiba untuk kembali bersaing.
"Saya cukup yakin dan percaya Liverpool mampu melayakkan diri ke Liga Juara-Juara. Secara peribadi, saya hanya berharap kami dapat kembali beraksi musim depan.

"Bagaimanapun, kami harus merealisasikan sasaran awal dengan memburu kedudukan empat pasukan terbaik dalam liga domestik," jelas Gerrard yang membantu Liverpool muncul juara Liga Juara-Juara pada musim 2004/2005.

Kejayaan Liverpool menjulang trofi Liga Juara-Juara sudah pasti diingati oleh penyokong setia skuad The Reds.

Pada aksi final di Stadium Ataturk, Istantul Turki itu, Liverpool menampilkan kebangkitan yang cukup dramatik ketika membenam cabaran kelab gergasi Itali, AC Milan. 

Selepas ketinggalan 0-3, Liverpool bangkit menyamakan kedudukan 3-3 sehingga tamat perlawanan masa tambahan, seterusnya bergelar juara apabila menang 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti.

"Saya anggap kejayaan kami menjuarai Liga Juara-Juara pada musim 2004/2005 merupakan satu detik yang cukup istimewa dan penuh bersejarah. Siapa dapat menjangkakan kami mampu muncul juara selepas ketinggalan 0-3 pada suatu ketika.

"Dengan semangat juang yang tinggi serta sikap enggan mengalah, kami akhirnya muncul juara," kata Gerrard yang turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik pada aksi final tersebut.

Ketika diminta mengulas mengenai isu penyerang berbisa, Luis Suarez yang ketika ini belum pasti mahu meneruskan kariernya di Anfield, Gerrard berkata, dia amat berharap tonggak skuad kebangsaan Uruguay itu terus kekal menyarung jersi Liverpool musim depan.

"Saya faham dia (Suarez) mahu beraksi dalam Liga Juara-Juara, begitu juga dengan para pemain Liverpool yang lain termasuk saya sendiri.

"Kami semua mahu beraksi dalam Liga Juara-Juara. Jadi buat permulaan, kami harus kembali mendapat tempat terbaik (empat teratas) dalam Liga Perdana England," jelasnya yang kini mengetuai Liverpool dalam jelajah pra-musim di Bangkok, Thailand.

Selepas membantu Liverpool meraih menewaskan skuad Pilihan Indonesia dan kelab Australia, Melbourne Victory, Gerrard berharap skuad The Reds dapat meneruskan momentum itu ketika menentang Thailand pada aksi persahabatan di Stadium Rajamangala, Bangkok hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan