Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) bakal mendapatkan khidmat
seorang pengurus baharu yang berasal dari Sepanyol bagi mengharungi
saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang
enggan mendedahkan secara khusus siapa individu tersebut bertitah,
pengurus baharu Harimau Selatan merupakan seorang yang berpengalaman dan
pernah menerajui pasukan seperti Valencia dan Atletico Madrid.
“Saya sebagai Presiden PBNJ ingin mengumumkan kepada para penyokong
Johor bahawa langkah-langkah positif sudah diambil untuk memperkukuhkan
lagi pasukan untuk musim depan,” titah baginda menerusi satu kenyataan
dalam laman sosial Facebook Kesultanan Johor dan Johor Darul Takzim
semalam.
Sementara Fandi Ahmad yang bertindak sebagai jurulatih Johor Darul
Takzim (Johor DT) akan terus bersama pasukan tersebut sebagai Penolong
Jurulatih.
Sejajar dengan prinsip PBNJ yang sentiasa membawa nama-nama besar
dalam industri bola sepak, Tunku Ismail bertitah, pihaknya semakin
hampir mencapai persetujuan untuk menandatangani kontrak bersama bekas
bintang bola sepak Argentina, Pablo Aimar, 33.
Dalam masa yang sama, baginda bertitah, PBNJ juga telah mendapat
persetujuan daripada lima pemain baharu untuk menyarung jersi Johor DT
bagi musim akan datang.
“Kami juga sedang dalam proses rundingan dengan beberapa pemain untuk beraksi dengan pasukan Johor DT,” titah baginda.
Dalam perkembangan berkaitan, Tunku Ismail menegaskan bahawa sumber kewangan persatuan bukan datangnya daripada wang rakyat.
“Ingin saya tegaskan bahawa sumber kewangan PBNJ adalah daripada
Sultan Johor, saya sendiri dan juga rangkaian penaja yang melabur dalam
negeri Johor dan tidak melibatkan wang rakyat.
“Oleh itu, kepada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang melemparkan
tuduhan yang tidak berasas adalah lebih baik berdiam diri daripada
menjatuhkan maruah diri sendiri,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan