LONDON - Arsene Wenger telah diberi lampu hijau untuk membuat tawaran
akhir berjumlah £40 juta (RM194.8 juta) ke atas Luis Suarez.
Penyerang Liverpool itu berada dalam senarai No. 1 Arsenal untuk
dibeli musim panas ini dan tawaran awal kelab London itu berjumlah £30
juta (RM146.2 juta) telah pun ditolak.
Media England kemudian melaporkan bahawa The Gunners mengemukakan
tawaran kedua berjumlah £35 juta (RM170.5 juta), namun ia masih belum
cukup memuaskan hati pegawai-pegawai kelab Merseyside itu untuk
melepaskan Suarez.
Kini tawaran ketiga Arsenal berjumlah £40 juta (RM194.9 juta) mungkin
bakal mengaktifkan klausa tebus kontrak Suarez, sekali gus menjadi
penentu kepada peluangnya untuk meninggalkan Anfield musim ini.
Ejen Suarez, Pere Guardiola menjelaskan jumlah tersebut bakal memaksa Liverpool mempertimbangkan tawaran Arsenal itu.
Harga berkenaan juga adalah yang paling tinggi pernah dipersetujui
oleh pegawai atasan The Gunners dalam usaha mereka membawa seorang
daripada tiga pemain berprofil tinggi.
Selain Suarez, Wenger turut berminat mendapatkan khidmat Gonzalo Higuain dan Wayne Rooney.
Pengurus The Reds, Brendan Rodgers percaya Suarez seharusnya
berhutang budi dengan rakan sepasukannya dan juga peminat kelab ini
dengan terus kekal di Anfield.
"Ia bukan mengenai saya atau pun kelab ini, saya rasa ia mengenai
rakan sepasukannya dan juga peminat yang telah banyak menyokongnya.
"Mereka tetap setia di belakangnya ketika dia mengharungi masa yang sukar dan juga segala trauma sejak beberapa musim lalu.
"Kalau ada pun pihak yang perlu dia membayar budi tersebut ialah
penyokong dan rakan sepasukannya. Ia bukan tentang saya," jelas Rodgers.
- Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan