DURBAN, Afrika Selatan - Manuel Pellegrini mengejutkan ramai pihak
apabila meninggalkan skuad Manchester City yang sedang mengikuti jelajah
pra-musim di Afrika Selatan kelmarin.
Berikutan ketiadaan pengendali dari Chile itu, ia dikatakan menjadi
antara penyebab City tumpas buat kali kedua pada jelajah tersebut - kali
ini kepada AmaZulu 1-2.
Pengendali baharu The Citizens itu dikatakan pulang ke kampung halamannya di Chile atas sebab peribadi.
Pellegrini dilihat tergesa-gesa meninggalkan lokasi latihan City di
Durban sebelum mengambil penerbangan ke Johannesburg lalu terbang ke
Santiago.
Difahamkan, Pellegrini bertindak sedemikian atas faktor keluarga dan hanya akan menyertai City semula di Hong Kong minggu depan.
Disebabkan itu, tugas beliau kini diambil alih oleh pembantu
pengurus, Brian Kidd dan Ruben Cousillas pada baki perlawanan di Afrika
Selatan.
Situasi itu jelas menjejaskan persiapan The Citizens sebelum sepak mula Liga Perdana England Ogos depan.
"Amat penting memiliki skuad yang lengkap dan saya memerlukan sedikit masa untuk membentuk persefahaman pemain.
"Situasi agak sukar ketika ini tetapi saya menjangkakan tidak banyak masalah bakal timbul.
"Jadi, saya harap dapat bekerjasama dengan pemain setiap hari kerana
tidak lagi mempunyai masa yang banyak sebelum saingan liga bermula,"
kata Pellegrini sebelum ini.
Ketika ini, dua pemain City iaitu David Silva dan Jesus Navas masih
belum menyertai skuad kendalian Pellegrini sementara Sergio Aguero dan
Pablo Zabaleta hanya tiba di Durban beberapa hari lalu selepas
menamatkan tugas antarabangsa bersama Argentina.
Untuk rekod, The Citizens tumpas 0-2 kepada Super Sport United dalam aksi pertama mereka di Pretoria minggu lalu. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan