Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
|
PEMAIN beregu lelaki utama negara, Tan Boon Heong mempunyai misi
tersendiri ketika menghadapi Kejohanan Badminton Dunia 2013 di China
bulan depan.
Mengakui dirinya akan lebih tenang jika dia dan pasangannya, Koo Kien
Keat ditabal selaku juara di bumi Guangzhou, Boon Heong turut
meletakkan sasaran peribadi menjelang kejohanan berprestij itu.
Boon Heong berkata, biarpun Persatuan Badminton Malaysia (BAM)
menetapkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke pentas final, dia telah
menanam azam untuk meraih kejuaraan pada edisi kali ini.
“Sebenarnya kami perlu ikut satu perlawanan demi satu (bermula aksi
pusingan kedua). BAM telah meletak sasaran ke final tetapi saya
sebenarnya mahukan kejuaraan.
“Saya pernah melangkah ke final pada edisi 2010, separuh akhir (2009)
dan suku akhir (2007 dan 2011), jadi kalau saya tidak dapat mengatasi
pencapaian itu, saya akan rasa gagal,” kata Boon Heong.
Kien Keat-Boon Heong mendapat bye dalam pusingan pertama sebelum
mereka dijadual menentang pasangan Jerman, Peter Kaesbauer-Josche
Zurwonne atau Pranaav Jerry Chopra-Akshay Dewalkar (India) pada pusingan
kedua.
Beregu No. 2 dunia itu dijangka berdepan dengan pasangan kelima dunia
dari Korea Selatan, Kim Ki Jung-Kim Sa Rang sekiranya mereka mara ke
suku akhir.
Ketika diminta mengulas mengenai undian kejohanan kali ini, Boon Heong menganggap laluan mereka tidak terlalu sukar.
“Undian itu agak baik bagi kami tetapi apa yang penting sekarang, kami perlu buat persiapan lagi dan lebih fokus.
“Selepas ini saya akan menyaksikan rakaman perlawanan yang
membabitkan lawan yang akan menentang kami pada Kejohanan Dunia nanti.
“Saya juga tidak rasa tertekan dengan undian dan kami harus menerimanya,” tambah Boon Heong.
Kien Keat-Boon Heong melakar sejarah peribadi apabila melangkah ke
final Kejohanan Dunia 2010 di Perancis, namun sekadar berpuas hati
dengan gelaran naib juara selepas tewas kepada beregu handalan China,
Cai Yun-Fu Haifeng.
Bekas beregu No. 1 dunia itu harus sekurang-kurangnya melangkah ke
pentas final pada kejohanan kali ini atau mereka bakal berdepan dengan
tindakan dipisahkan oleh BAM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan