BERLIN - Penyerang Borussia Dortmund, Robert Lewandowski menyuarakan
komitmennya kepada finalis Liga Juara-Juara itu selepas gagal dalam
usahanya menyertai juara trebel, Bayern Munich musim depan.
Lewandowski yang masih mempunyai kontrak dengan Dortmund sehingga
2014 enggan menyambung kontrak baharu musim lepas dengan harapan dapat
menyertai kelab yang diimpikannya.
Situasi itu menyebabkan Lewandowski diramal menjadi pemain kedua yang
berpindah ke Bayern selepas Mario Goetze namun, Dortmund menghalang
perpindahan itu.
"Saya akan memberi apa yang terdaya demi Dortmund.
"Tidak kira apa yang telah berlaku. Saya tidak berminat tentang situasi di luar padang," jelas Lewandowski.
Penyerang kebangsaan Poland itu mengharungi musim cemerlang apabila
meledakkan 24 gol dalam Liga Jerman dan menambah 10 lagi gol dalam
kempen Liga Juara-Juara termasuk empat gol ketika menentang Real Madrid
pada aksi separuh akhir.
Dortmund yang tumpas kepada Bayern sepanjang tiga kejohanan musim
lepas tidak akan menerima sebarang yuran perpindahan sekiranya
Lewandowski meninggalkan mereka secara percuma selepas kontraknya
berakhir tahun depan.
"Apabila saya berada di atas padang, saya hanya fikirkan tentang
Dortmund. Saya mahu memberikan segala yang termampu dan mengecapi
kejayaan di sini," tambahnya lagi.
Lewandowski merangkul trofi pertamanya musim ini apabila Dortmund
menewaskan Bayern Munich 4-2 dalam saingan Piala Super Jerman minggu
lepas.
Pemain berusia 24 tahun itu turut mencipta peluang gol pertama buat pasukannya.
"Saya harap, ini bukan trofi terakhir yang kami menangi," katanya. - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan