|
HARI itu, tidak terlihat sesuatu yang glamor pada diri Amy Search.
Sebaliknya, beliau menyambut kedatangan kami ke kediamannya pada Ramadan
ke-10 dengan hanya berseluar panjang dan kemeja-T berwarna kelabu.
Penampilannya jauh meninggalkan imej glamor atau rockstar yang sering
dibawa dalam setiap persembahannya. Ironi, ia sangat bertepatan dengan
tujuan pada hari itu.
Amy pada hari itu, perlu masuk ke dapur, menunjukkan kepakarannya
dalam bidang masakan - satu kebolehannya yang cukup terkenal dalam
kalangan ahli keluarga atau kenalan rapatnya.
Malah, dengan berlapang dada beliau menerima kehadiran kami yang mahu
merakam momen dan menikmati air tangan seorang rockstar sepertinya.
Sempat juga, sehari sebelum sesi fotografi berlangsung, Amy pening
kepala memikirkan menu yang mahu dihidangkan.
Nak makan apa? Nak saya masak apa? Begitu antara persoalan yang
diajukan beberapa kali sebelum keputusan dibuat - memasak hidangan
ringkas yang menjadi menu seharian mereka sekeluarga. Tak perlu memasak
nasi beriyani atau masakan yang luar biasa hanya untuk menunjukkan
kepakarannya memasak.
Lantas, tauhu sumendang, ikan kurau masin, sambal kerang, kari ikan
bawal dan ulam-ulaman menjadi juadah berbuka puasa yang ringkas tetapi
satu nikmat buat kami semua.
Diusik masakannya setaraf peserta Masterchef, Amy hanya ketawa mengekeh. Beliau lantas berbicara tentang kebolehannya memasak.
"Saya mula memasak sewaktu usia belasan tahun. Waktu itu, arwah ayah
bekerja sebelah petang, jadi kalau saya tak memasak, saya akan lapar.
Jadi saya pun cuba memasak nasi goreng dan sebagainya, barangkali dari
situ, saya kira skil masakan saya terasah," ujarnya.
Cerita anak kelahiran Johor Bahru itu lagi, tamat persekolahan,
apabila beliau mula hidup merantau ke ibu kota, memasak sendiri sudah
menjadi rutin hariannya.
Sebagai anak rantau yang tidak punya banyak wang untuk selalu makan di kedai, alternatif terbaik adalah memasak sendiri.
"Masa baru sampai di Kuala Lumpur, saya memang tak bawa banyak wang.
Kalau ada pun, cukup-cukup untuk turun naik bas pergi cari kerja dan
selalunya kami berkongsi makan ramai-ramai, sama macam senario orang
bujang yang lain.
"Jadi alternatif mahu makan sedap kenalah pandai memasak dan saya
gunakan skil memasak yang saya ada pada waktu itu untuk memasak bagi
rumah bujang kami," katanya.
Mampu masak lauk-pauk kampung
Sambil tersenyum, Amy memberitahu, hidangan pertama yang dipersembahkan kepada teman-teman serumah ialah mee hun goreng.
Katanya: "Saya ingat lagi, saya pergi ke telefon awam dan telefon mak
saya di kampung minta resipi macam mana nak masak mee hun goreng."
Dan kini, bukan hanya mee hun goreng yang mampu dimasak pelantun lagu
Fantasia Bulan Madu ini, sebaliknya, beliau hampir mampu memasak segala
lauk-pauk kampung.
Malah bagi rakan-rakan rapat atau ahli keluarganya, mereka sudah
mempunyai masakan khusus yang digemari hasil air tangan penyanyi ini.
Ditanya lauk yang mendapat permintaan paling tinggi, Amy memberitahu
ia mengikut selera masing-masing. Namun, katanya hidangan ringkas
seperti sambal sardin sehingga asam pedas daging, sup tulang dan ayam
masak hijau selalu menjadi pilihan tetamu yang ingin bertandang ke
kediamannya.
Amy kemudian meluahkan persepsinya terhadap tanggapan segelintir
khalayak terhadap lelaki, terutama suami yang masuk ke dapur untuk
memasak sebagai tidak maskulin atau bersifat tidak seperti ketua rumah
tangga.
Bagi Amy, beliau tidak pernah terfikir bahawa apabila beliau masuk ke
dapur dan memasak, ia mampu menjatuhkan statusnya sebagai ketua
keluarga.
Sebaliknya, jelas Amy, memasak merupakan satu terapi buat dirinya.
Terkadang, beliau sendiri berebut dapur dengan isterinya, Nourish untuk
memasak.
Ujar Amy juga, sebagai seorang lelaki, ilmu memasak itu perlu dan
bagi lelaki yang handal memasak, itu bonus kerana tidak semua lelaki
yang mampu memasak dengan baik.
"Untuk saya, memasak itu merupakan satu terapi diri. Saya suka ke
dapur memasak untuk keluarga atau tetamu saya. Dan bila saya mula
memasak, saya jadi cerewet kerana saya mahukan ia bermutu dan kelak
memberi kepuasan kepada mereka yang menikmati air tangan saya," katanya.
Elak pembaziran
Ditanya tentang menu berbuka puasa yang sering menjadi pilihan
keluarganya, ulas Amy, mereka sekeluarga jarang membeli lauk pauk di
luar.
Malah, beliau sendiri kurang gemar berbuka di restoran atau hotel, kecuali atas jemputan.
Jelasnya, sebagai seorang yang tidak makan banyak sewaktu berbuka,
beliau beranggapan berbuka di hotel merupakan satu pembaziran.
"Saya jenis tidak makan banyak. Waktu berbuka, cukup buat saya hanya
ada kurma atau kuih tradisional seperti badak berendam, kuih puteri
mandi atau buah melaka.
"Justeru, saya kira adalah satu pembaziran jika saya berbuka di luar.
Saya memang senang berbuka di rumah dengan keluarga dan memasak sendiri
menu berbuka. Biar ringkas, tetapi kena dengan selera kami," ujarnya
yang tidak menafikan berkunjung ke bazar Ramadan untuk mencari kuih atau
makanan tertentu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan