|
KETIKA ini penyanyi Ainan Tasneem Ridzuan boleh berbangga apabila
single pertamanya, Aku Suka Dia sudah ditonton lebih sejuta kali sejak
dimuat naik ke laman YouTube tahun lalu.
Tidak lekang dengan sebuah gitar yang sentiasa di sisinya, Ainan juga
merupakan antara penyanyi yang cukup berbakat besar kerana mampu
menghasilkan lagu sendiri.
Ketika ditemui semasa majlis pelancaran album sulungnya, Ainan
Tasneem - Aku Suka Dia baru-baru ini, dia sendiri tidak menyangka mampu
menempa nama sebagai penyanyi dalam sekelip mata.
"Kalau melihat kepada karier dalam bidang seni ini, saya anggap
bidang nyanyian ini tidak lebih daripada sekadar mahu mengisi masa
lapang selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dahulu.
"Ketika itu saya sekadar suka-suka merakamkan lagu yang dinyanyikan
sendiri dan saya muat naik ke laman Facebook. Tujuan saya berbuat
demikian cuma mahu mendapat komen daripada rakan-rakan," ujar penyanyi
berusia 21 tahun itu.
Menurut Ainan, dia langsung tidak menyangka apabila seorang rakannya
telah memuat naik lagu nyanyiannya, Aku Suka Dia ke laman YouTube
sehingga mendapat sambutan yang baik.
Ujarnya, selepas lagu berkenaan diterima baik oleh pendengar,
terdapat beberapa buah syarikat yang berjumpa dengan keluarganya dan
menawarkannya sebagai artis rakaman.
"Secara jujurnya, saya tidak pernah mengimpikan untuk menjadi seorang
penyanyi, malah saya telah menolak banyak tawaran kerana menganggap
nyanyian sebagai hobi sahaja.
"Namun begitu, setelah dipujuk oleh ahli keluarga dan rakan-rakan,
barulah saya bersetuju menjadi artis rakaman dengan syarikat MVM
Production," dedahnya.
Mengakui nyanyian bukanlah keutamaan dirinya sekarang, Ainan
sebaliknya mendedahkan dia sebenarnya ingin melanjutkan pelajaran ke
luar negara dan bergelar pensyarah suatu hari nanti.
Jelasnya, sejak dibangku sekolah lagi dia sudah bercita-cita untuk
menjadi pensyarah. Pada masa ini, dia mahu memberi sepenuh tumpuan
kepada pengajiannya di Universiti Malaysia Perlis (UniMap).
|
Lali kontroversi
"Ketika ini saya memang memberi tumpuan yang lebih kepada pelajaran
sahaja kerana mahu mendapatkan keputusan yang baik dalam peperiksaan.
"Saya diberitahu sekiranya keputusan saya cemerlang, pihak UniMap akan menghantar saya menyambung pengajian di luar negara.
"Sudah tentu ia merupakan satu peluang keemasan yang tidak harus
dilepaskan. Buat masa ini pelajaran lebih diutamakan berbanding
nyanyian," ujar penuntut tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan
Bioproses itu.
Pembabitannya dalam industri hiburan tempatan dianggap baru berusia
setahun jagung, namun Ainan tidak dapat lari daripada dilanda gosip
hangat.
Menurut Ainan, pada mulanya dia berasa rimas apabila ramai orang yang
terlalu mengambil tahu dan memperkatakan kisah peribadinya.
"Sebenarnya saya kurang selesa kalau ada yang bercerita tentang
peribadi saya, apatah lagi kalau cerita berkenaan tidak benar dan
sekadar khabar angin.
"Misalnya, cerita yang mengatakan saya selalu berkepit dengan teman
lelaki di universiti. Sebenarnya, saya tidak tahu apa tujuan orang yang
menyebarkan cerita itu," luahnya.
Tambahnya, dia sekali lagi berdepan dengan kontroversi apabila
dikatakan enggan menyanyikan lagu 150 Juta dalam acara persembahan yang
dijayakannya kerana kesal dituduh mencuri lagu tersebut daripada Fynn
Jamal.
Bagaimanapun, Ainan menjelaskan perkara tersebut tidak sepatutnya
menjadi isu kerana ia merupakan salah faham dan dia tetap akan
menyanyikan lagu berkenaan sekiranya mendapat permintaan daripada pihak
penganjur.
"Sebagai seorang penyanyi baharu sudah tentu saya akan rasa terbeban
dengan kontroversi yang melanda, tetapi lama-kelamaan saya semakin lali
dengan segala kontroversi dan tidak kisah lagi apa yang orang hendak
kata.
"Mungkin inilah harga yang terpaksa saya bayar apabila memilih untuk menjadi penyanyi.
"Namun begitu, saya sangat beruntung kerana mendapat sokongan yang
kuat daripada ahli keluarga dan teman rapat yang lebih mengenali diri
saya," jelasnya.
|
Cuti semester
Biarpun Ainan menyatakan mahu memberi fokus terhadap pengajiannya di
UniMap, tetapi penyanyi itu menjelaskan dia masih lagi aktif dan
bersedia menerima tawaran membuat persembahan.
Menurutnya, sepanjang tiga bulan cuti semester ini jadual nyanyiannya
cukup padat, termasuk memenuhi undangan nyanyian sepanjang bulan puasa.
"Ketika ini, saya sedang bercuti dari bulan Jun hingga September.
Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai tawaran diterima. Saya juga
menjayakan sesi promosi yang diaturkan untuk album saya.
"Selain itu, saya telah memberitahu kepada syarikat rakaman yang saya
cuma boleh menerima tawaran menyanyi ketika cuti semester dan mereka
bersetuju memberi kelonggaran kepada saya," ujarnya.
Bercerita mengenai album Ainan Tasneem - Aku Suka Dia pula, Ainan
menjelaskan, terdapat lima buah lagu yang terkandung dalam album
tersebut iaitu Aku Suka Dia, 150 Juta, Kamu Saja, Tak Mungkin Aku dan
Aku Keliru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan