Selasa, 23 Julai 2013

Mukhriz diramal terajui KFA

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

ALOR SETAR - Teka teki siapa dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang baharu bakal terjawab hari ini apabila persatuan tersebut mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) di Wisma Darul Aman di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Aminuddin Omar berkata, agenda EGM berkenaan ialah melantik Presiden KFA bagi menentukan hala tuju baharu persatuan itu dalam memartabatkan sukan bola sepak negeri ini.

Katanya, kerusi itu kosong selepas penyandangnya yang juga bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak melepaskan jawatan awal Jun lalu ekoran masalah kesihatan.

"Sesiapa pun yang dilantik nanti pasti akan berusaha memberikan yang terbaik kepada sukan bola sepak Kedah," katanya ketika dihubungi semalam.

Perlembagaan KFA sebelum ini menetapkan Presiden persatuan itu adalah Menteri Besar, namun perlembagaan baharu yang diubah pada 2010 menyaksikan jawatan tersebut dan Eksekutif KFA bukan lagi automatik, sebaliknya dipertandingkan.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir dikatakan calon yang disebut-sebut akan mengisi jawatan berkenaan tanpa perlu bertanding.

Satu sumber memberitahu, hanya nama beliau yang dicalonkan selepas tarikh penghantaran borang pencalonan ditutup baru-baru ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan