LONDON - Bintang muda Sepanyol, Thiago Alcantara hanya selangkah lagi untuk tiba di Manchester United.
Menurut sumber rapat kepada pemain tengah bawah 21 tahun Sepanyol
itu, perjanjian lima tahun bernilai 17.5 juta pound (RM83.14 juta) sudah
memasuki peringkat 'akhir' dan hanya memerlukan sedikit perincian
sebelum ditandatangani.
Beberapa hari lalu, Alcantara dijadikan model jersi baharu Barcelona,
perkembangan yang mencetus spekulasi bahawa perjanjian ke Old Trafford
mungkin tidak akan menjadi kenyataan.
Namun, semalam, ketua pasukan bawah 21 tahun Sepanyol itu memberitahu
rakan rapatnya bahawa cabarannya di La Liga sudah berakhir.
Malah, bapa Alcantara, Mazinho, bekas pemenang Piala Dunia bersama
Brazil pada 1994 mahu menjual restorannya, Campechano yang terletak di
Barcelona kerana bersedia untuk berpindah ke England.
Pengurus baharu United, David Moyes bagaimanapun masih keberatan
untuk mengakui bahawa pemain berusia 22 tahun itu dalam perjalanan ke
Old Trafford.
Begitupun perpindahan tersebut menjadi semakin jelas minggu lalu
apabila Alcantara memilih untuk meninggalkan Nou Camp kerana kecewa
peluangnya untuk menyarung jersi Sepanyol pada Piala Dunia tahun depan
amat tipis selagi dia berada di Barcelona.
Walaupun menjadi nadi Sepanyol ketika merangkul Piala Dunia Bawah 21
tahun bulan lalu, namun Alcantara jarang diberi peluang berada dalam
kesebelasan juara Liga Sepanyol itu kerana perlu menyaingi beberapa
bintang besar pasukan seperti Cesc Fabregas, Andres Iniesta dan Xavi.
Selain United, juara Eropah, Bayern Munich yang kini dikendalikan
oleh bekas pengurus Barcelona, Pep Guardiola turut menyuarakan minat
terhadap bekas anak didiknya itu.
"Thiago sangat teruja tentang peluang bermain dalam Liga Perdana
Inggeris. Dia adalah peminat liga berkenaan," kata sumber rapat pemain
tersebut. - AGENS
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20130708/sl_03/Alcantara-semakin-hampiri-Old-Trafford#ixzz2YQXGq7Om
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan