BANGKOK - David Moyes kalah dalam perlawanan
pertamanya sebagai pengurus Manchester United 0-1 kepada Singha All-Star
XI di sini kelmarin.
Namun dia tidak perlu bimbang kerana Alex Ferguson juga kalah dalam perlawanan pertamanya sebagai pengurus pasukan itu.
Ferguson mengalami kekalahan 0-2 di Oxford ketika menjadi pengurus United pada 1986 namun menjadi pengurus Red Devils selama 26 tahun.
Ditanya sama ada kekalahan itu merupakan petanda buruk, Moyes
berkata: "Saya harap tidak (bukan petanda buruk). Ia bukanlah keputusan
yang baik, namun saya gembira dengan cara pemain beraksi."
United yang beraksi tanpa Robin van Persie, Wayne Rooney, Nani dan
kapten, Nemanja Vidic bermula lembap dan membenarkan All-Stars melakukan
asakan ke kubu mereka.
Sungguhpun keputusan tersebut hanya membabitkan perlawanan
persahabatan dan dibarisi pemain kurang berpengalaman, ternyata bukan
mudah untuk Moyes mengikut jejak langkah Alex Ferguson yang menjadi
pengendali kelab selama 27 tahun dan merangkul 38 trofi.
" Kami memberi peluang kepada lebih pemain muda untuk bermain. Saya
kecewa kerana kami gagal mendapatkan hasil pada perlawanan ini.
"Apa yang kami peroleh pada perlawanan ini ialah memperbaiki tahap
kecergasan pemain. Sesiapa sahaja yang menyaksikan perlawanan, mereka
boleh memaklumkan kepada anda betapa panasnya cuaca di sini," kata
Moyes.
Para penyokong terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sehingga 4,000 baht
(RM407) bagi mendapatkan tiket, tetapi malangnya mereka berasa seperti
ditipu kerana perlawanan hambar dalam cuaca yang panas dan lembap di
pinggir bandar Bangkok.
Moyes menurunkan Danny Welbeck sebagai penyerang tunggal dalam
kesebelasan utamanya, selepas Rooney terpaksa meninggalkan jelajah
kerana kecederaan hamstring, dengan Anderson diberi peranan
sebagai perancang dan diapit oleh Ryan Giggs serta pemain remaja
Belgium, Adnan Januzaj di bahagian sayap.
Bagaimanapun, pasukan tuan rumah yang diperkuatkan dengan
pemain-pemain terbaik liga Thai, berjaya memanfaatkan peluang yang
terbuka menerusi Teeratep Winothai pada awal permainan, namun
percubaannya itu berjaya dinafikan Jonny Evans.
Pada babak kedua, United yang dijangka meningkatkan permainan
dikejutkan dengan jaringan penyerang Bangkok Glass, Teeratep yang
berjaya memecah kebuntuan apabila dia menewaskan Amos pada minit ke-49. -
AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan