Selasa, 16 Julai 2013

Pandelela mahu terjunan terbaik

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE

SRIKANDI terjun negara, Pandelela Rinong mahu menemui semula sentuhan sebenar pada Kejohanan Akuatik Dunia yang bakal membuka tirainya di Barcelona, Sepanyol Jumaat ini.

Pemenang pingat gangsa temasya Sukan Olimpik 2012 itu dilihat masih bergelut untuk mengembalikan semula prestasi sebenar dalam acara kegemarannya iaitu 10 meter (m) platform individu.

Dia hanya meraih pingat gangsa pada Siri Terjun Dunia (DWS) yang pertama di Beijing tetapi gagal meraih kedudukan podium dalam lima siri berikutnya.

Namun, Pandelela optimis mampu melakar sesuatu kali ini sekembalinya daripada menjalani latihan selama enam minggu di China baru-baru ini.

“Acara 10m platform semakin sengit dan saya percaya bakal menerima cabaran yang cukup hebat kali ini.

“Pada masa sama, saya semakin bersemangat sekembalinya dari menjalani latihan di China.
“Saya sedar segala-galanya serba tidak menjadi pada siri yang terdahulu, jadi saya akan buktikan yang saya akan kembali menemui sentuhan sebenar kali ini,” katanya.

Pandelela memberitahu, dia benar-benar berharap dapat mengakhiri kemarau pingat pada kejohanan kali ini selepas sekadar menamatkan saingan di tempat kelima sebanyak dua kali pada edisi Rom (2009) dan Shanghai (2011).

“Namun untuk memastikan ia menjadi kenyataan, saya memerlukan sekurang-kurangnya 370 mata.
“Penerjun dari China dilihat mampu menamatkan saingan di tempat pertama dan kedua memandangkan juara bertahan, Chen Ruolin dan pendatang baharu, Si Yajie berkemampuan mencatat 400 mata.

“Selain mereka berdua, Meaghan Benfeito (Kanada), Yulia Koltunova (Rusia) dan Brittany Broben (Australia) juga antara pencabar yang perlu diberikan perhatian,” kata Pandelela yang berlepas ke Barcelona kelmarin.

Untuk rekod, catatan peribadi terbaik Pandelela ialah 381.75 mata yang dilakukannya ketika memenangi pingat perak Kejohanan Universiti Dunia (Universiade) di Shenzhen dua tahun lalu.
Tahun ini, dia berjaya membuat catatan terbaik 358.90 mata ketika menamatkan saingan di tempat keempat pada siri kelima DWS di Guadalajara, Mexico.

Pada masa sama, Pandelela juga gembira apabila tidak lagi dibelenggu kecederaan belakang dan pergelangan kaki.

“Saya berada pada prestasi terbaik dan tidak sabar memulakan aksi pada kejohanan kali ini,” katanya.
Selain Pandelela, Leong Mun Yee, Cheong Jun Hoong dan Wendy Ng Yan Yee merupakan tiga lagi penerjun negara yang turut berlepas ke Barcelona kelmarin.

Empat lagi penerjun negara iaitu Ooi Tze Liang, Chew Yi Wei, Ahmad Amsyar Azman dan Traisy Vivien Tukiet pula akan menyertai mereka dari Rusia selepas temasya Universiade di Kazan berakhir.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan