BANGKOK - Pengurus Manchester United, David Moyes mengakui pasukannya akan mendapat sesuatu yang terbaik daripada penyerang The Red Devils, Wayne Rooney.
Bapa baharu Old Trafford itu optimis Rooney yang masih samar tentang
masa depannya bersama kelab itu akan kekal dan dia merancang untuk
memberi lilitan kapten kepadanya.
Bagaimanapun, Moyes tidak mahu situasi itu mengganggu persiapan
United yang dalam misi mempertahankan kejuaraan Liga Perdana England
musim baharu nanti.
Katanya, setakat ini masih belum ada perbincangan kontrak baharu
bersama Rooney dan penyerang England berusia 27 tahun itu terlepas
peluang dalam siri jelajah pra musim bersama United di Thailand.
Itu kerana Rooney telah mengalami kecederaan hamstring dan dihantar
pulang selepas hanya beberapa jam dia tiba bersama pasukan itu di
Thailand.
"Saya tidak berminat untuk hanya bercakap mengenai Rooney sepanjang
masa dan terlalu menumpukan perhatian terhadapnya. Manchester United
bukan hanya mengenai Wayne, Manchester United adalah sebuah pasukan bola
sepak.
"Sekarang kami bercakap mengenainya dan sebenarnya apa yang saya
tidak ingin berlaku adalah Wayne menjadi lebih penting daripada kelab
dan pasukan ini," tegas Moyes, 50.
Dalam pada itu, ramai menjangka United akan membiarkan Rooney
memasuki tahun terakhir dalam kontraknya pada musim depan dan selepas
itu baharu Moyes akan membuat sesuatu.
Moyes juga menegaskan bahawa Rooney lebih sesuai menggalas tugas selaku penyerang berbanding pemain tengah.
"Rooney boleh bermain selaku penyerang tunggal, dia juga mampu
bermain di bawah sedikit. Pada pandangan saya, Wayne adalah jawapan
terbaik jika Robin van Persie tercedera," kata bekas pengurus Everton
itu lagi. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan