|
MADRID - Juara Eropah, Bayern Munich menambah kekuatan di posisi
tengah apabila bersetuju mengikat pemain tengah Barcelona, Thiago
Alcantara dengan yuran perpindahan 25 juta euro (RM104 juta).
Menurut satu kenyataan dalam laman web rasmi Bayern kelmarin, Thiago,
22, akan menjalani ujian perubatan dalam tempoh beberapa hari lagi
sebelum menandatangani kontrak selama empat tahun, sekali gus memintas
Manchester United untuk mengikat bintang skuad Bawah 21 (B-21) Sepanyol
itu.
Jika semuanya berjalan lancar, Thiago akan bekerjasama semula dengan
bekas pengendali Barca, Pep Guardiola yang kini menjadi jurulatih
Bayern.
Dalam pada itu, Barca turut mengesahkan perkara itu dan mereka
menjelaskan, perjanjian itu bakal menjadikan hubungan dua hala antara
skuad The Catalan dan Bayern menjadi lebih mesra.
Bayern akan menjelaskan 5 juta euro (RM20.8 juta) daripada yuran
perpindahan yang diasingkan menerusi gajinya dan separuh lagi daripada
persetujuan Thiago sendiri untuk dijadikan sebahagian upah beberapa
proses perpindahannya.
"Thiago merupakan pemain yang sangat diidamkan jurulatih baharu
Bayern. Aksinya sangat mengagumkan dan dia bakal menambah kekuatan kelab
itu.
"Kami sangat mengalu-alukan kehadiran pemain berbakat besar itu dan
dia merupakan pembelian terbesar serta terbaik kami," kata Ketua
Eksekutif Bayern, Karl-Heinz Rummenigge.
Thiago yang lahir daripada Akademi Remaja Barcelona dilihat sebagai
prospek besar bagi menggantikan Xavi di posisi tengah kelab gergasi
Sepanyol itu.
Beberapa laporan media Sepanyol menyebut, Thiago kecewa kerana dia
kurang diberi peluang beraksi, sekali gus memaksa dia berhijrah ke
Jerman bersama kelab yang menghargai bakatnya.
Untuk rekod, Thiago yang menjadi kapten skuad B-21 Sepanyol membantu pasukan itu menjadi juara Eropah.
Pada aksi final itu, Thiago meledak hatrik untuk membantu kemenangan
4-2 Sepanyol ke atas Itali, sekali gus dipilih sebagai pemain paling
berharga oleh Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
Ironinya, Thiago lahir di Bari, Itali dan bapanya, Mazinho merupakan
bekas pemain tengah Brazil serta pernah menganggotai skuad Samba itu
ketika menjadi juara Piala Dunia 1994.
Adiknya, Rafinha juga bermain di bahagian tengah dengan skuad Barcelona B. - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan