SALVADOR, Brazil - Gianluigi Buffon
menyelamatkan tiga sepakan penalti untuk Itali menang 3-2 ke atas
Uruguay pada penentuan penalti dan memastikan tempat ketiga pada Piala
Konfederasi setelah kedudukan terikat 2-2 selepas masa tambahan semalam.
Kemenangan itu sekali gus menebus kehampaan Itali yang kalah kepada
Sepanyol juga menerusi penentuan penalti pada perlawanan separuh akhir.
Penentuan penalti tersebut menutup perlawanan menarik di Arena Fonte
Nova, di mana Alessandro Diamanti menjaringkan satu gol dan membuka
gerakan untuk satu lagi gol Itali.
Edinson Cavani menjaringkan dua gol penyamaan buat Uruguay.
Ketika penentuan penalti, Buffon, 35, menafikan sepakan pertama
Uruguay yang dilakukan oleh Diego Forlan dan kemudiannya menafikan
sepakan Martin Caceres sebelum Walter Gargano gagal menyempurnakan
sepakan yang memberikan kemenangan kepada Itali.
Alberto Aquilani, Stephan El Shaarawy dan Emanuele Giaccherini
masing-masing menyempurnakan penalti buat Itali manakala sepakan Mattia
De Sciglio dinafikan penjaga gol Uruguay, Fernando Muslera.
Itali yang beraksi tanpa pemain utama Mario Balotelli dan Andrea
Pirlo serta pemain tonggak lain, menamatkan perlawanan dengan 10 pemain
selepas Riccardo Montolivo dilayangkan kad kuning kedua pada minit
ke-110 setelah mengkasari Luis Suarez.
Uruguay pula menurunkan skuad terkuat, hampir sama dengan barisan
pemain ketika mereka kalah 1-2 kepada Brazil pada separuh akhir.
Buffon hampa ketika separuh akhir apabila Itali kalah 6-7 pada
penentuan penalti menentang Sepanyol, namun semalam tuah memihak penjaga
gol veteran itu semalam.
"Selepas gagal memberikan kegembiraan kepada rakan sepasukan ketika
menentang Sepanyol, saya berjaya melakukannya hari ini, walaupun ia agak
lewat.
"Ia pastinya mengecewakan jika kami kalah hari ini, kerana sukar
untuk kami beraksi dua hari selepas perlawanan separuh akhir (menentang
Sepanyol)," kata Buffon.
- Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan