BERLATIH dan beraksi pada bulan puasa bukan satu
perkara luar biasa buat pemain-pemain bola sepak di Malaysia, namun
tidak kepada peminat bola sepak di Eropah, khususnya Liga Perdana
Inggeris yang sering tertanya-tanya, apakah ibadah puasa akan
menjejaskan prestasi pemain.
Antara persoalan yang ditimbulkan, mampukah seorang pemain
profesional yang harus sentiasa berada di tahap terbaik mempersiapkan
diri mereka dengan sempurna jika perlu menahan makan dan minum sebaik
matahari terbit sehinggalah ia terbenam, sepanjang 30 hari menjalani
ibadah puasa.
Dan, semua kemusykilan itu dijelaskan dengan cukup baik oleh pemain pertahanan tengah Liverpool, Kolo Toure.
Pemain antarabangsa Ivory Coast berusia 32 tahun itu menjelaskan,
puasa bukan saja tidak melemahkan dirinya, malah ibadah tersebut telah
menjadikan dia seorang yang lebih baik dan kuat.
"Saya menjalani ibadah puasa sepanjang bergelar pemain bola sepak. Ia
memang agak sukar tetapi pada masa yang sama, ia menjadikan saya
seorang yang lebih kuat secara mental dan fizikalnya. Ia tidak mudah
tetapi apabila anda percaya kepada Tuhan, maka tiada apa yang mustahil.
"Saya juga tidak perlu menjalani latihan pada waktu yang berbeza
daripada rakan-rakan sepasukan, pada saya itu semua tidak penting.
Apabila mental anda kuat, maka anda bersedia berdepan apa jua cabaran.
"Malah, pada sesi latihan saya sentiasa memberikan 110 peratus dan
tidak pernah sesaat pun saya akan berkata, "Tidak, saya tidak mahu
berlatih keras hari ini". Saya amat bersemangat untuk berlatih dengan
gigih seperti mana saya bersemangat untuk memenangi perlawanan buat
pasukan.
"Pada saya, Ramadan memang tidak mudah kerana ia adalah tempoh di
mana saya harus bekerja lebih keras daripada kebiasaan, tetapi saya
sentiasa bersedia menerima cabaran ini," ujar Toure.
Waktu berbuka puasa merupakan detik yang istimewa buat dirinya.
Biasanya, dia akan berbuka bersama keluarga, isteri dan anak-anak,
malah kadang kala keluarganya akan datang ke Melwood (padang latihan
Liverpool) untuk berbuka bersama.
Katanya lagi, ibadah puasa tidak langsung menjejaskan prestasinya
sebaik saja dia merancang diet serta pemakanan sepanjang Ramadan dengan
betul.
Dia hanya mengambil makanan yang disyorkan ketika bersahur dan berbuka.
"Adalah amat penting untuk menjaga pemakanan. Anda kena mengambil
makanan yang betul kerana ia boleh menyebabkan sama ada berat badan anda
naik atau turun. Sebab itu anda juga perlu minum dengan betul, perlu
menjaga setiap apa yang anda ambil dan buat. Dengan bantuan doktor dan
semua orang dalam pasukan, kami sentiasa mendapat panduan pemakanan yang
betul.
"Pada lima hari pertama memang agak sukar tetapi selepas itu badan
saya mula membiasakan diri dan ketika itulah saya berasa sangat gembira.
Puasa juga dapat membersihkan badan anda, malah menjadikan anda lebih
kuat daripada hari-hari biasa.
"Baru-baru ini saya menonton program BBC mengenai Demba Ba (penyerang
Chelsea), bagaimana dia menjaringkan lebih banyak gol selepas berakhir
bulan Ramadan kerana dia lebih cergas daripada biasa. Saya rasa itulah
yang menakjubkan tentang Ramadan, ia boleh menjadikan anda sangat kuat,"
kata Toure.
Bapa kepada dua orang anak ini juga mengakui, amat terkejut melihat
layanan baik yang diberikan oleh Liverpool kepada umat Islam di kelab
itu meskipun tidak ramai orang beragama Islam berada di Anfield.
"Saya amat terharu apabila ada bilik sembahyang disediakan di Melwood
(padang latihan Liverpool), ia seperti sukar dipercayai dan sesuatu
yang amat menakjubkan.
"Saya baharu tiba di sini bulan lalu (dari Manchester City), tetapi
saya begitu terharu dengan layanan yang diberikan oleh seluruh anggota
keluarga Liverpool, baik daripada jurulatih, doktor hinggakan
rakan-rakan sepasukan. Mereka sentiasa memberi sokongan kepada saya,
walaupun kami datang daripada latar belakang (agama) yang berbeza.
"Sebagai seorang muslim, apatah lagi muslim yang sentiasa berpegang
teguh kepada agama, ada beberapa tuntutan yang perlu saya penuhi setiap
hari. Ia sangat menakjubkan apabila pasukan anda memahami keperluan anda
dan memberi sokongan kepada mereka yang percayakan Tuhan.
"Akhirnya sekali pesanan saya kepada semua umat Islam di seluruh
dunia, Assalamualaikum.. selamat berpuasa dan saya mendoakan semoga
Tuhan meringankan penderitaan kita dan membantu mereka yang memerlukan,"
katanya menutup bicara ketika ditemubual oleh wartawan laman web rasmi
Liverpool.
Selain Toure, adiknya yang juga bintang tengah Manchester City, Yaya
Toure turut menjalani ibadah puasa begitu juga dengan Demba Ba, Djibril
Cisse (Newcastle United), Ali Al-Habsi (Wigan) dan Abou Diaby (Arsenal).
- AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan