SACHSENRING, Jerman - Juara MotoGP dunia, Jorge
Lorenzo terkeluar daripada Grand Prix Motosikal Jerman di Sachsenring
hari ini selepas terbabit dalam kemalangan pada sesi latihan semalam,
hanya dua minggu selepas patah tulang selangka akibat kemalangan di GP
Belanda.
Pelumba Sepanyol itu, yang memerlukan pembedahan bahu kiri akibat
kemalangan di Assen dua minggu lalu, jatuh sekali lagi pada sesi latihan
kedua dan mendarat di bahagian yang sama.
Menurut penganjur perlumbaan, plat titanium yang dipasang dengan
lapan skru selepas insiden di Assen bengkok akibat kemalangan itu,
menyebabkan Lorenzo kesakitan yang teramat sangat, walaupun pin tidak
tercabut.
Akibatnya, penunggang Yamaha berusia 26 tahun itu terpaksa menarik
diri daripada perlumbaan dan diterbangkan pulang ke Barcleona sejurus
selepas kemalangan tersebut untuk menjalani pembedahan.
"Saya memutuskan untuk pulang ke tanah air dan menjalani rawatan
akibat kemalangan di Sachsenring. Saya lebih suka memberi tumpuan kepada
pembedahan untuk membetulkan plat yang telah bengkok akibat kemalangan.
"Saya akan cuba pulih dan kembali ke trek secepat yang mungkin," kata Lorenzo.
Walaupun dia bangun dengan cepat selepas meninggalkan trek pada
pusingan keempat, Lorenzo dilihat memegang bahu dan menekannya dengan
pek ais sebelum memasuki kereta menuju ke pusat perubatan litar.
Insiden itu berlaku tidak lama selepas pelumba Jerman, Stefan
Bradl mencatat masa terpantas pada sesi latihan kedua di depan penyokong
tuan rumah dengan kepantasan 1 minit, 22.030 saat - 0.017s meninggalkan
Lorenzo. Lorenzo mencatat masa terpantas pusingan 1:22.47s pada sesi
latihan sebelah pagi.
Penunggang Sepanyol itu menamatkan cabaran GP Belanda pada 26 Jun di
tangga kelima biarpun terlibat dalam kemalangan pada sesi latihan dua
hari sebelum perlumbaan.
"Di Belanda, saya mengharungi sepanjang perlumbaan dengan menahan
kesakitan. Saya akui saya agak takut tetapi saya berjaya menamatkan
cabaran di tangga kelima dan hanya melepaskan dua mata (kepada Dani
Pedrosa). Itu perkara paling penting," kata Lorenzo. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan