LONDON - Edison Cavani mengakui spekulasi yang mengaitkannya dengan
beberapa kelab gergasi Eropah kini sudah mula mengganggu hidupnya.
Penyerang Napoli itu mula menjadi tumpuan pada musim perpindahan ini
selepas menjadi buruan Chelsea, Manchester City dan juga Real Madrid.
Dia yang baharu saja selesai menjalani tugasan antarabangsa bersama
skuad kebangsaan Uruguay dalam kempen Piala Konfederasi menjelaskan mula
berasa rimas tentang spekulasi yang menyelubunginya ketika ini.
"Pada awal kempen Piala Konfederasi, saya ingat khabar angin tentang
penghijrahan saya ini tidak akan memberi masalah kepada saya.
"Tetapi saya silap dan saya terpaksa akui bahawa ia sudah mula
mengganggu kehidupan saya," jelas Cavani yang beraksi dengan baik
sepanjang kempen di Brazil itu.
Cavani meledakkan dua gol ketika membantu Uruguay mengikat Itali 2-2
pada aksi penentuan tempat ketiga/keempat awal pagi semalam.
Namun, usahanya itu masih belum memadai apabila Uruguay tumpas dalam penentuan penalti 2-3.
"Buat masa ini saya masih belum mahu memikirkan lagi tentang apa-apa.
Kami baharu saja selesai dalam kempen di Brazil ini, jadi berilah saya
masa untuk memikirkan tentang masa depan saya," katanya lagi.
Sementara itu, pengurus Chelsea, Jose Mourinho yang masih berusaha
mahu mendapatkan Cavani, bagaimanapun telah diberi lampu hijau dalam
pemburuannya ke atas pemain sayap Sporting Lisbon, Bruma.
Bruma atau nama sebenarnya, Armindo Tue Na Bangna, 18, sebelum ini
turut diburu oleh City, namun Sporting dikatakan mahu menjualnya dengan
harga £8 juta (RM38.5 juta) dengan syarat pertukaran seorang pemain. -
Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan