Oleh KHAIRI MOHAMAD
JENERAL padang Kelantan, Mohd. Badhri Radzi sepatutnya menyertai
skuad kebangsaan sejak lima tahun lalu dan beliau perlu diberi tugas
mengemudi jentera tengah Harimau Malaya.
Demikian luah legenda bola sepak Kelantan, Dali Omar yang bersetuju
dengan pandangan bekas jurulatih The Red Warriors (TRW), Datuk M.
Karathu seperti yang dilaporkan Kosmo! semalam yang mahu pemain berusia
31 tahun itu diberi peluang untuk membuktikan kehebatan di pentas
antarabangsa.
Menurutnya, Mohd. Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya, berjaya
meletakkan dirinya dalam kelas yang tersendiri apabila memiliki segala
kelebihan yang diperlukan sebagai seorang pemain tengah dalam sesebuah
pasukan.
“Pemain tengah ini ada pelbagai kategori, ada yang beraksi sebagai
pemain tengah hanya untuk melengkapkan kesebelasan utama, ada juga
pemain tengah yang disenaraikan dalam pasukan kerana mempunyai kelebihan
lain seperti sepakan percuma tetapi tidak mampu untuk memberi impak.
“Tetapi, Piya melengkapkan kesemua kriteria yang perlu ada untuk
menjadi seorang pemain tengah yang baik. Kawalan bola, hantaran, sepakan
percuma, membaca pergerakan rakan sepasukan dan menjaringkan gol adalah
aset yang cukup bernilai untuk seorang yang bernama Piya ini,” katanya
ketika dihubungi di Kota Bharu semalam.
Tambahnya, enam musim beraksi pada perlawanan akhir termasuk membantu
Kelantan menjulang kejuaraan trebel musim lalu, serta mempertahan
kejuaraan Piala FA untuk musim kedua berturut-turut selain dinobatkan
pemain terbaik perlawanan akhir, sudah cukup buat Piya melengkapkan
resume untuk dipilih menyertai skuad kebangsaan.
Katanya, dalam sesebuah pasukan bola sepak, mencari dan menghasilkan
seorang pemain tengah yang baik adalah cukup sukar berbanding pemain di
posisi lain kerana posisi tersebut memerlukan pemain berkenaan untuk
mengawal keseluruhan pasukan.
“Pemain tengah harus mempunyai kemampuan memegang bola, berani
membawa masuk bola ke kawasan lawan kerana dalam bola sepak, jika anda
mampu untuk memegang bola dan membawa masuk ke kawasan lawan sejauh 20
meter itu adalah sudah cukup baik.
“Lihat apa yang dilakukan Piya, dia mampu menggelecek pemain lawan,
membawa masuk bola, mampu melakukan hantaran dan membuka gerakan. Apa
lagi yang diperlukan oleh seorang jurulatih jika bukan pemain tengah
sepertinya.
“Perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu menyaksikan Piya menjadi
arkitek untuk ketiga-tiga gol yang dihasilkan Kelantan dan malam Sabtu
lalu, dia sekali lagi membuktikan betapa Kelantan antara pasukan yang
bertuah kerana memiliki pemain sepertinya apabila bola hantarannya
disudahkan dengan baik oleh Mohd. Norfarhan Muhammad,” ujarnya.
Mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa Piya hanyalah
seorang 'jaguh kampung' kerana berjaya membuktikan kehebatannya ketika
beraksi bersama Kelantan sahaja dan gagal memberikan aksi terbaik di
peringkat yang lebih tinggi, Dali menjawab: “Piya ‘wajib’ diberikan
peluang untuk berada dalam pasukan seperti mana pemain regular lain
dalam skuad kebangsaan. Jika dia hanya diberi peluang untuk beraksi
untuk tempoh 45 minit atau kurang, kemudian anda cuba untuk kritik corak
permainannya, itu adalah tidak adil.
“Jika dia (Piya) mahu dibandingkan dengan Safiq (Rahim), dia perlu
diberi ruang seperti mana yang diperoleh Safiq dan kemudian barulah anda
boleh komen atau kritik aksinya.
“Harimau Malaya perlu mengekalkan Shakir Shaari dan membawa masuk
Piya untuk melihat perubahan dan saya yakin impaknya nanti pasti akan
positif.
“Soal menang atau kalah adalah perkara yang berbeza tetapi, untuk
kita melihat perubahan dalam permainan skuad kebangsaan, senaraikan Piya
dalam kesebelasan utama kerana saya fikir dia sudah bersedia untuk
menggalas tugas baharu itu,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan