|
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) diminta untuk memberi jawapan
atas semua aduan yang telah dibuat mengenai mutu pengadilan sepanjang
saingan Liga Malaysia musim ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan
Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan (gambar kecil), sehingga kini Persatuan
Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) telah membuat lebih daripada lima aduan
rasmi kepada FAM, namun tiada satu jawapan yang diterima daripada badan
induk itu.
“Saya difahamkan sudah banyak aduan yang telah dibuat mengenai mutu
pengadilan bola sepak dan bukan setakat laporan bertulis, PBNJ turut
sertakan bukti dalam bentuk rakaman video.
“Namun sehingga kini, FAM langsung tidak memberikan jawapan. Saya
harap FAM dapat ambil tindakan drastik kerana mutu pengadilan sangat
lemah dan banyak keputusan yang dibuat boleh dipertikaikan,” kata
Zulkurnain pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.
Zulkurnain berkata demikian selepas beliau sekali lagi tidak berpuas
hati dengan mutu pengadilan ketika aksi Liga Super antara Johor Darul
Takzim (Johor DT) dan Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin
malam kelmarin.
Jelas Zulkurnain, pada pertembungan yang menyaksikan kedua-dua
pasukan seri 1-1 itu, Johor DT dilihat seperti menjadi mangsa apabila
banyak keputusan tidak berpihak kepada skuad Harimau Selatan.
Katanya, perkara tersebut bukan hanya terjadi pada perlawanan
kelmarin tetapi dalam beberapa lagi aksi melibatkan Johor DT termasuk
ketika menentang Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 22 Jun
lalu.
“Saya turut berada di Stadium Larkin semalam (kelmarin) dan
menyaksikan sendiri bagaimana mutu pengadilan yang sangat lemah. Perkara
sebegini tidak sepatutnya berlaku.
“Penonton bayar tiket untuk masuk ke stadium dan mereka berhak untuk menyaksikan perlawanan yang adil.
“Perkara ini perlu diperbetulkan segera kerana jika tiada tindakan
drastik daripada FAM, saya bimbang penonton dan pemain sendiri akan mula
hilang kepercayaan,” katanya.
Justeru, Zulkurnain berharap Setiausaha Agung FAM yang baharu, Datuk
Hamidin Mohd. Amin memainkan peranan utama untuk mengubah situasi bola
sepak negara ke arah yang lebih baik.
“Saya harap beliau (Hamidin) dapat membuat perubahan terutama
mengenai mutu pengadilan. Isu ini bukan perkara baharu. FAM perlu
mengambil kira pandangan persatuan negeri, kerajaan negeri mahupun
masyarakat,” katanya.
Pada aksi kelmarin, Johor DT mendahului pada minit ke-22 menerusi
jaringan Leonel Nunez sebelum penyerang import Selangor, Forkey Doe
menyamakan kedudukan enam minit selepas babak kedua bermula hasil
sepakan percuma.
Dengan keputusan tersebut, Johor DT menamatkan saingan Liga Super di
tangga ketiga, sekali gus gagal untuk melayakkan diri ke saingan Piala
AFC tahun hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan