Oleh YATIMIN ABDULLAH
JUARA Piala FA, Kelantan mengakhiri kempen Liga Super di tangga
keempat hasil kemenangan 2-0 ke atas juara baharu, Lions XII di Stadium
Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam kelmarin.
Selepas mengharungi 22 perlawanan liga, Kelantan yang juga juara Liga
Super musim lalu mengumpul 36 mata, empat mata di belakang Selangor dan
Johor Darul Takzim (Johor DT).
Pengendali Kelantan, Bojan Hodak nyata gembira dengan keputusan itu
sambil menyifatkan barisan pemainnya mempamerkan semangat juang yang
tinggi selepas mengharungi lima perlawanan dalam tempoh dua minggu.
“Bukan mudah untuk kita mengharungi situasi tersebut, namun para
pemain Kelantan berjaya mengatasi halangan tersebut dan akhirnya
meneruskan rentak kemenangan dalam lima perlawanan berturut-turut.
“Bukan itu sahaja, kami turut mengekalkan rekod bersih tanpa bolos
dalam lima perlawanan tersebut dan ia merupakan sesuatu yang mengujakan
buat saya sebagai jurulatih,” kata Hodak.
Mengulas mengenai kemenangan ke atas Lions XII, Hodak memberitahu,
barisan The Red Warriors beraksi cemerlang dengan menguasai keseluruhan
perlawanan tersebut.
Menurut Hodak, meskipun turun tanpa Obinna Nwaneri, barisan pemainnya
tidak goyah dengan asakan Lions XII, sebaliknya terus fokus dengan
memperagakan aksi menarik sepanjang 90 minit perlawanan.
“Kejayaan ini menguatkan lagi semangat kami untuk menghadapi saingan
Piala Malaysia akan berlangsung selepas bulan Ramadan nanti.
“Saya akan terus memperkemaskan pasukan bagi menghadapi saingan
tersebut bagi memastikan kejuaraan Piala Malaysia dapat dipertahankan
musim ini,” ujarnya.
Pada aksi kelmarin, Kelantan memperoleh gol seawal minit kelima
menerusi sepakan penjuru kapten, Mohd. Badhri Radzi yang terus menerjah
jaring pelawat.
Penggempur sensasi The Red Warriors, Dickson Nwakaeme meletakkan tuan
rumah selesa di hadapan menerusi gol kedua pada minit ke-58.
Hodak turut memberitahu, Badhri mengalami kecederaan pada perlawanan tersebut.
“Saya harap dia (Badhri) tidak mengalami kecederaan serius dan kembali sembuh sebelum saingan Piala Malaysia bermula,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan